Friday 20 May 2011

SIAPAKAH KAMU WAHAI MANUSIA?


 Oleh Asy Syahid Al Imam Hassan Al Banna
Terjemahan: Mimbar Jumuah.


“ Hai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (dengan berbuat durhaka) terhadap Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang telah menciptakan kamu dan menyempurnakan kejadian kamu dan menjadikan (susunan tubuh) kamu seimbang dalam bentuk apa sahaja yang dikehendaki. Dialah yang menyusun tubuhmu. “
(Surah Al Infitar ayat 6 – 8)



1. Adapun orang-orang yang beriman mengatakan:-

Kamu adalah merupakan satu  penciptaan Allah s.w.t, suatu tiupan suci dari sisi Allah s.w.t. Allah s.w.t menjadikan kamu dengan kekuasaanNya. Ditiup Nya ke dalam diri kamu dengan roh dari sisiNya. Dimuliakan kamu dari seluruh makhluk Nya yang lain. Seluruh malaikat telah sujud kepadamu. Allah s.w.t telah mengajar kepadamu segala sesuatu. Diletakkan di bahu kamu amanah, lantas kamu  pikul. Dilimpahkan ke atas kamu nikmat-nikmat dari sisiNya baik yang zahir maupun batin. Dijadikan  untuk kamu seluruh isi langit dan bumi.  Dimuliakan kamu dengan setinggi-tinggi kemuliaan. Diciptakan kamu dengan sebaik-baik penciptaan. Dipersiapkan kamu dengan sesempurna persiapan. Diberikan kepadamu pendengaran, pengelihatan dan hati. Dijelaskan kepadamu dengan dua jalan (buruk dan baik) dan  ditunjukkan kamu dua persimpangan. Dipermudahkan kepada kamu dalam membuat pilihan terhadap jalan-jalan tersebut. Dengan izinNya dan penciptaanNya, kamu dapat terapung di air dan terbang di udara bahkan dapat memecahkan atom-atom. Dengan fikiran dan kemampuan kamu, kamu dapat melampaui  lapisan-lapisan awan dan langit (serta bumi).

Lantaran itu adakah lagi penciptaan dan kejadian yang lebih mulia, lebih suci dan lebih agung  dari penciptaan Rabbani  ini?.

Seterusnya hidup kamu yang singkat di dunia ini tidak akan berhenti setakat itu sahaja,  kamu akan dihidupkan  dan dibangkitkan  kembali. Kamu akan dihimpunkan semula, kamu akan menempuh hidup baru dengan penuh kemuliaan di dalam satu negeri yang penuh dengan kenikmatan dan kebaikan, dengan syarat kamu mengerti rahsia kamu dijadikan dan seterusnya pula kamu beramal dengan penuh keikhlasan semata-mata kerana  Allah s.w.t, Al Ma’bud, Al Khaliq.  Firman  Allah s.w.t:-
   
Terjemahannya:
Tidak  Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk pengabdian kepadaKu. Aku tiak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi  Aku makan
(Surah Az Dzariyat ayat 56 – 57)

Kematian yang dibimbangi dan ditakuti itu tidak lain melainkan hanyalah satu perpindahan daripada hidup di dunia  ini kepada kehidupan yang satu lagi. Firman Allah s.w.t:-

Terjemahannya:
Dan tiadalah kehidupan di dunia ini melainkan senda gurau dan  mainan belaka. Dan sesungguhnya akhirat itulah sebenarnya kehidupan jika mereka mengetahui. “
(Surah Al Ankabuut ayat 64)


Jasad kamu tidak lain adalah seolah-olah satu  sangkar dan jiwa kamu terkurung di dalamnya. Seolah-olah dalam satu pakaian terhadap jiwa kamu, sehingga sampai kepada satu ketika dimana kamu menemui kematian. Semoga Allah s.w.t merahmati orang-orang yang   Arif  yang berkata:-

Akulah burung dan inilah sangkarku (jasadku)
Bila ku terbang darinya, tinggallah ia terkatung-katung,
Pakaian adalah masa,
Kini ku merindui peluang
Dapat ku bertemu Allah dengan sebenarnya
Jangan kau kira maut itu adalah kesudahan,
Bahkah hanya dari sini (dunia) ke sana (akhirat)






2. Sebaliknya orang-orang Materialis dan suka membantah akan berkata:

 Kamu  wahai manusia, hanyalah satu genggaman tanah, berasal dari  setitik mani yang terperangkap di dalam rahim. Dengan masa, lama kelamaan kamu akan luput dan fana. Tidak ada apa-apa lagi selepas itu. Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh. Demikianlah kata orang yang terdahulu dari mereka.  Firman Allah s.w.t:- 

Terjemahannya:
Dan mereka berkata  : Kehidupan ini tidak lain hanyalah kehidupan di dunia sahaja, kita mati dan kita hidup tiada yang dapat membinasakan  kita   melainkan masa  dan mereka sekali-kali tidak mempunyai pengetahuan  tentang itu, mereka tidak lain hanyalah menduga-duga sahaja  . “
(Surah Al Jathiyah ayat 24)
  

Orang-orang yang terkemudian dari mereka pula berkata ‘ Diri  kamu hanyalah adunan unsur-unsur bumi dan kehidupan kamu adalah peredaran sistem-sistem fisiologi semata-mata. Segala sentimen, perasaan dan kewujudan, juga fikiran dan kudrat, bahkan keazaman dan kemahuan  hanyalah kesan dari adunan unsur-unsur bumi dan natijah dari percampuran tanah dan air. Kehidupan itu hanyalah pusiangan hari-hari tertentu yang dapat  kamu mengambil kesempatan untuk kamu berseronok-seronok dan berfoya-foya.

Sesungguhnya dunia ini adalah makan dan minum dan tidur. Bila ini semua luput maka selamat tinggallah dunia.

Wahai saudara, itulah permasalahan hidup yang sebenarnya jika kamu perhatikan dengan betul-betul. Jika kamu  renungkan dengan betul-betul, kamu tidak akan tergolong ke dalam golongan orang-orang yang lalai dan leka dengan kewujudan mereka, yang tidak mengambil berat terhadap kewajipan  insaniyah mereka. Kamu akan menjadi orang-orang yang sedar terhadap matlamat hidup kamu dan jalan mana yang kamu harus tempuhi.

Seperkara yang inginku nasihatkan kamu:-

Ambilah peluang untuk bersendirian seketika di waktu malam atau siang. Pergunakanlah ia untuk merenung dengan sedalam-dalamnya terhadap kehidupan individu dan jamaah. Apabila kamu telah mencapai hakikat pandangan  yang pertama tadi, iaitu pandangan orang-orang yang beriman, kamu akan dapat menyedari dimanakah kamu yang sebenarnya. Sesungguhnya kamu akan dapat meningkatkan dirimu kepada  matalamat  sebenarnya, seterusnya kamu menuju Allah s.w.t  Yang Maha Agung. Kamu akan mensucikan dirimu dengan mengingatiNya, mentaatiNya, muraqabah kepadaNya dan sentiasa takutkanNya. Sesiapa yang mengenali dirinya nescaya ia akan mengenali Tuhannya, Janganlah kamu merasa anih jika terdapat orang yang memilih  pandangan kedua, pandangan orang-orang yang sesat, kerana di sana ada dua jalan iaitu Jalan Fitnah   atau jalan Hidayah.  Firman  Allah s.w.t:
  
Terjemahannya:
  Maka tatkala mereka melupakan apa yang diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat dan Kami timpakan kepada orang-orang yang zalim siksaan  yang keras disebabkan mereka selalu berbuat fasiq. Maka tatkala mereka bersikap sombong terhadap apa yang dilarang mereka dari mengerjakannya, Kami  katakan kepadanya : Jadilah kamu kera yang hina 
(Surah Al  ‘Araaf ayat 165 – 166)

Semoga Allah s.w.t menunjukkan kepada kita sebaik-baik jalan dan petunjuk yang lurus.

Wallah hu a’lam

Tuesday 17 May 2011

MENGAPA MANUSIA DICIPTAKAN



 Perlu kita  perhatikan  kepada tiga persoalan asas yang berkaitan dengan seluruh kehidupan kita. Persoalan-persoalan tersebut adalah:-

1.                   Dari  manakah kita datang ?
2.                   Mengapakah kita di datangkan ?
3.                   Kemanakah kesudahan kita ?

Untuk mencari jawapannya yang tepat maka perlulah kita merujuk kepada apa yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t di dalam al Quran al Karim.

Persoalan  Pertama:  Dari manakah kita datang ?

Jawapannya  akan kita dapati dari Firman Allah s.w.t yang bermaksud :-

“ Wahai sekelian manusia, jika kamu masih ragu-ragu terhadap hari Qiamat, sesungguhnya Kami (Allah s.w.t) telah jadikan kamu dari tanah, kemudian  daripada air mani, dari  air mani menjadi darah sampai ia menjadi sepotong daging yang telah sempurna kejadiannya dan yang belum sempurna, supaya Kami beri keterangan kepada kamu dan Kami tetapkan di dalam kandungan (rahim) ibu mengikut kehendak Kami, sampailah waktu tertentu maka Kami keluarkan kamu dari kandungan ibumu menjadi kanak-kanak sampai kamu menjadi  orang dewasa. Di antara kamu ada yang dimatikan dan ada yang dipanjangkan   hidupnya sampai terlalu tua hingga tidak mengetahui apa-apa sedangkan sebelumnya kamu mengetahui 
(Surah Al Hajj ayat 5)

Dengan meneliti ayat tersebut dapatlah kita mengetahui dari manakah datangnya kita dan persoalan  tersebut telah terjawab.

Persoalan Kedua :  Mengapakah kita  didatangkan atau mengapa kita dijadikan oleh Allah s.w.t ?.

Jawapan kepada persoalan ini terdapat di dalam firman Allah s.w.t :-
  
  Tidak  Aku (Allah) jadikan jin  dan  manusia, melainkan untuk  beribadah (mengabdikan)  diri kepada Ku “
(Surah Adz Dzariyaat ayat 56)


Para ulamak muktabar telah menghuraikan pengertian ibadah itu dengan panjang lebar, yang mana perkataan ibadah ada kesyumulannya (kesempurnaannya) dan mempunyai ruang lingkup yang luas, tidak terbatas  atau  terhad semata-mata  kepada fardhu solat, puasa, zakat dan haji sahaja. Tugas dan kewajipan kita di dunia ini adalah beribadah dan memperhambakan diri kepada  Allah s.w.t berdasarkan kepada firmanNya  tersebut.   

Untuk menepati kehendak ibadah dalam seluruh hidup ini, maka setiap perbuatan yang kita lakukan itu mestilah semata-mata kerana Allah s.w.t serta mengikut betul-betul arahan yang   telah disampaikan oleh Rasulullah s.a.w.


Jika demikian, segala makanan, minuman, pelajaran, pekerjaan, pendidikan jasmani, perkahwinan dan mendidik anak adalah merupakan jalan-jalan atau faktor-faktor yang membantu kita untuk taatkan Allah s.w.t serta teguh beribadah kepadaNya. Juga menjadikan kita bertaqarrub (menghampirkan diri) kepada Allah s.w.t. Ini bermakna rumah, sekolah, kilang, pejabat, sawah ladang, padang   permainan , gedung perniagaan dan sebagainya adalah medan ibadah. Bahkan seluruh bumi Allah s.w.t  ini merupakan ‘ masjid ‘, tempat menunaikan ibadah dalam realiti kehidupan.

Sehubungan dengan   Syaikh al Islam Ibn Taimiyyah telah menyatakan bahawa ‘ Setiap perkara yang telah Allah s.w.t perintahkan hamba-hambaNya melaksanakan adalah dikira sebagai ibadah. Ibadah yang meliputi apa sahaja yang diredhai oleh Allah s.w.t, samada tutur kata, perbuatan dan tingkah laku.

Professor Dr Yusuf Qaradhawi menyatakan di dalam bukunya ‘ al Ibadah Fi  al Islam ‘  bahawa  ‘ Sesungguhnya beribadah kepada  Allah s.w.t tidaklah terhad kepada mengerjakan solah, puasa, zakat dan haji  dan perkara-perkara  yang berkaitan dengannya seperti tilawah al Quran, zikir, berdoa, beristighfar dan sebagainya sebagaimana fahaman  sesetengah golongan  Islam  (yang mendakwa Islam).  Ramai yang telah menyangka bahawa  apabila mereka telah menunaikan fardhu-fardhu dan syiar-syiar yang tersebut bererti mereka telah menyempurnakan haq Allah s.w.t terhadap mereka sepenuhnya. Mereka menyangka sudah sesesai menunaikan kewajipan ‘Ubudiyyah terhadap  Allah s.w.t. Pada hal tanggapan tersebut adalah meleset dari hakikatnya  yang sebenar ‘

Beliau membuat penjelasan lagi bahawa “ Tidaklah dikira ibadah kepada Allah s.w.t jika seseorang itu berfahaman  aku solah, aku berpuasa, aku berzakat dan aku menunaikan haji tetapi aku bebas memakan daging babi, minum arak,  makan riba’, berjudi serta menolak hukum-hukum syariat Allah s.w.t yang  tidak sesuai dengan pandanganku. Juga tidak dikira ibadah kepada Allah s.w.t bagi orang yang menganggap ibadahnya hanya ketika berada di kawasan masjid, tetapi apabila ia keluar dari masjid dan menceburkan diri dalam bidang-bidang kehidupan lain ,  dia menjadi hamba kepada kehendak dirinya sendiri, bebas mengikut hawa nafsunya dengan tidak menghiraukan hukum-hukum Allah s.w.t.

Oleh  kerana  itu maka setiap orang yang terkeliru mestilah membetulkan kefahamannya dan  kembali mengenal  Islam dan ibadah kepada Allah s.w.t. Semoga seluruh kehidupannya berada dalam keredhaan Allah s.w.t. cukuplah bagi seseorang Muslim itu berfikir bahawa dia adalah khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini untuk menjalankan tugas dan arahan Allah s.w.t  semata-mata. Memadai dia berbuat demikian  untuk mencorakkan segala jenis amalannya dengan corak Islam hinggalah segala perkataan, perbuatan dan diamnya itu menjadi  ibadah kepada  Allah s.w.t.

Menurut al Qaradhawi lagi, bahawa ibadah itu merangkumi  dua tugas besar yang menjadi teras bagi semua perkara yang tersebut sebelum ini. Tugas tersebut adalah:

1.                   Menyeru kepada kemakrufan dan mencegah daripada kemungkaran
2.                   Berjihad ke jalan Allah s.w.t.

Menurut huraian asy Syahid Sayyid Qutb, bahawa kerja-kerja menyuruh kepada makruf serta mencegah mungkar tidak boleh dipandang ringan. Umat ini tidak berjaya selagi makruf tidak tertegak sebagai makruf dan mungkar tidak dimusnahkan sebagai mungkar. Untuk melaksanakan tugas yang besar ini maka perlulah kepada pembentukan Ummah. Ummah yang tertegak di atas dasar Iman kepada  Allah s.w.t dan Persaudaraan kerana Allah s.w.t  agar hukum-hukum Allah s.w.t terlaksana, kerja-kerja makruf berjalan dengan senang, kebenaran mengatasi kepalsuan, kebaikan sentiasa disokong dan kemungkaran sentiasa di tentang. Untuk sampai kepada ummah Islam  sedemikian , maka jihad yang berterusan diperlukan dan mengikut jalan-jalan yang betul sebagaimana yang telah digariskan oleh Rasulullah   s.a.w.

Persoalan Ketiga : Kemanakah kesudahan kita ?

Persoalan ini tidak memerlukan kepada huraian yang panjang kerana setiap orang menyedari asal usulnya serta mengetahui akan tugas dan kewajipannya. Maka InsyaAllah ia akan menyedari pula kemanakah kesudahannya. Walaupun demikian, jawapannya tetap telah dinyatakan oleh Allah s.w.t dalam firmanNya yang bermaksud:-

“ Sesungguhnya kepada Tuhan (Allah) kesudahan kamu (tempat kembali). Dialah yang membuatkan kamu tertawa dan Dia juga yang membuatkan  kamu menangis. Dialah yang mematikan kamu dan menghidupkan kamu kembali “
(Surah An Najm ayat 42 – 44 )   

Monday 16 May 2011

*Tanah Suci Mekah*

Makkah Al-Mukarramah

Bumi yang penuh keberkatan. Di sana terdapat Baitullah al Haram iaitu kiblat kaum muslimin. Hati merasa rindu dan terpaut ke sana untuk melihat Kaabah dan Tawaf. 

  1. Abdullah bin ’Adi bin  Al Hamrak berkata bahawa beliau telah mendengar Rasulullah SAW sedang bersabda (mengenai Mekah) maksudnya:

”Demi Allah, sesungguhnya engkau (Mekah) sebaik-baik bumi Allah dan sekasih-kasih bumi Allah kepada Allah. Kalaulah saya tidak dikeluarkan Allah daripada engkau nescaya saya tidak keluar meninggalkan engkau”.
HR Ahmad dan Ibnu Majah


  1. Tiada negeri sebaik engkau. Engkau cukup ku kasihi. Kalaulah kaumku tidak mengeluarkan aku daripada engkau, nescaya aku tidak akan tinggal mencari (tempat tinggal) selain daripada engkau”.
HR Tarmizi daripada Ibnu Abbas

Masuk Ke Tanah Suci Mekah

Masuk ke tanah suci untuk ’ibadah Haji  & ’Umrah atau ’Umrah sahaja, di sana terdapat Miqat atau tempat yang mesti kita berihram. Sekiranya kita tidak berbuat demikian maka kita dikenakan Dam.

Adab Masuk Ke Mekah Untuk Haji & ’Umrah Atau ’Umrah Sahaja

1.                  Mandi dan membersihkan diri  (memakai pakaian ihram dan berniat di Miqat).

2.                  Masuk melalui Ma’lah – kalau boleh, kalau tidak boleh tidak mengapa.

3.                  Segera ke Baitullah selepas meletakkan barang-barang di tempat yang selamat.

4.                  Masuk melalui Babun (pintu) Bani Syaibah  iaitu Babus Salam (باب السلام).

5.                  Masuk dengan khusyuk dan membaca:

اعوذ بالله العظيم وبوجهه الكريم وسالطانه القديم من الشّيطان الرجيم
بسم الله اللهم صل على محمد وآله وسلّم0 اللهمّ اغفرلي ذنوبي و افتح لي ابواب رحمتك


6.                  Nampak sahaja Ka’abah Allah Al Haram, angkat tangan dan berdoa :

اللهمّ زد هذا البيت تشريفا و نعظيما وتكرعا و مهابة و زد من شرفة و كرّمة ممن حخّه واعتمره تشريفا وتكريما وتعظيما وبرا
اللهم انت السّلام ومنك السّلام فحيّنا ربنا باسلام

7.                  Kemudian terus ke Hajar Aswad- kucup tanpa suara, kalau dapat kalau tidak dapat hendaklah Istilam dengan tangan dan kucup tangan, kalau tidak dapat juga isyarat sahaja dengan tangan.

8.                  Kemudian berdiri pada garisan tawaf dan memulakan tawaf- tidak dituntut solah Tahyatul Masjid kerana tahayyatnya ialah tawaf bagi kita yang baru sampai kecuali masuk sesudah iqamah maka hendaklah melakukan solat fardhu bersama-sama imam, atau ditakuti luput waktu solah fardhu maka dahulukan solat fardhu.

9.                  Sesudah tawaf  7 kali maka dilakukan  sunat tawaf 2 rakaat di belakang  Makam Ibrahim kalau ada peluang kalau tidak, lakukanlah di mana-mana sahaja di dalam Masjidil Haram.

10.              Minum air zam-zam.

Di Sana Terdapat Tempat-Tempat Yang Penting Dalam Ibadah Haji Dan ‘Umrah

1.                  ‘Arafah :  tempat wukuf – rukun Haji yang kedua.

Padang  'Arafah

2.                  Muzdalifah : tempat bermalam – perkara wajib Haji, juga tempat mengutip anak-anak batu.

Bermalam di Muzdalifah

3.                  Mina : tempat melontar jamrah dan tempat bermalam (bermabib) perkara wajib Haji.

Mina

 Juga terdapat tempat-tempat yang cukup bersejarah di dalam Islam

*        Jabal Nur – terdapat Gua Hirak- tempat di mana wahyu pertama diturunkan.

Jabal Nur

Gua Hira'

*        Tan’im (batas tanah haram Mekah dari arah Madinah)– Ji’ranah dan lain-lain tempat untuk berihram ‘Umrah.


Masjid Tan'im yang di bina di atas tapak batas tanah haram Mekah

Sunday 8 May 2011

Kesedaran Kewujudan Allah.


Wasiat Imam Syafie.

Imam Syafie
SEBELUM Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat Islam seluruhnya. Berikut ialah kandungan wasiat tersebut : " Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat maka hendaklah dia mengamalkan sepuluh perkara, :

PERTAMA : HAK KEPADA DIRI- Mengurangkan tidur, mengurangkan makan,
mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

KEDUA : HAK KEPADA MALAIKAT MAUT- Mengqadhakan kewajipan-kewajipan
yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

KETIGA : HAK KEPADA KUBUR- Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

 KEEMPAT : HAK KEPADA MUNKAR DAN NAKIR- Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat-menasihati.

KELIMA : HAK KEPADA MIZAN ( NERACA TIMBANGAN AMAL PADA HARI KIAMAT) –Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.
Berzikirlah untuk ketenangan hati
 KEENAM : HAK KEPADA SIRAT ( TITIAN YANG MERENTANGI NERAKA PADA HARI KIAMAT ) – Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.
Solat Jemaah jom!27 kali ganda ganjaranny
KETUJUH : HAK KEPADA MALIK ( PENJAGA NERAKA )- Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.
Senyum juga sedekah :)
KELAPAN : HAK KEPADA RIDHWAN ( PENJAGA SYURGA)- Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

KESEMBILAN : HAK KEPADA NABI SAW- Berselawat keatas baginda, berpegang kepada syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.
Jom Selawat!
KESEPULUH : HAK KEPADA ALLAH SWT- Mengajak manusia kearah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.
Tiada tuhan yang disembah melainkan Allah



Followers