Wednesday 29 June 2011

People Change...




Tuesday 28 June 2011

KE ARAH KESEDARAN ISLAM

Suatu Perkembangan Yang Membahayakan Umat Islam.

Suatu pengaruh dan fahaman yang merosakkan umat Islam ialah menularnya fahaman sekular dalam masyarakat Islam. Pengaruh sekularisma ke atas negara-negara Islam dikatakan bermula dari abad ke 18M hinggalah ke abad ini.

Suatu contoh yang jelas di zaman moden ini ialah apa yang telah berlaku kepada Daulah 'Othmaniyyah Turki di mana telah diadakan pembaharuan undang-undang dengan memasukkan undang-undang yang bukan daripada al-Quran dan as-Sunnah.Undang-undang ini datangnya daripada "code" orang-orang barat semenjak Zaman Renaissance lagi.Ia telah menjayakan sekularisasi. Pengaruh tersebut semakin lama semakin menyeluruh memasuki semua bidang hidup hingga menye­babkan soal-soal kehidupan harian terpisah daripada dasar-dasar kerohanian Islam. Unsur barat itu diterima dengan alasan menja­lankan pemodenan, pembangunan serta kemajuan.

Di Tanah Melayu, ketika zaman penjajahan British, sekularisasi dalam bidang pentadbiran mulai berlaku dalam abad 19M dengan termeterinya Perjanjian Pangkor (1874).

Sekularisasi terus berjalan hingga ke abad ini. Meskipun terdapat beberapa perubahan namun sekularisasi semakin menebal hinggakan Din Islam itu dipersempitkan menjadi amalan peribadi bukan lagi menjadi sistem pengatur kehidupan ini.

Perkembangan ini sangat membahayakan umat Islam yang memegang amanah Allah S.W.T. untuk menegakkan melaksanakan kehidupan Islam dan nilai-nilainya berdasarkan tauhid.

Pendewaan Nilai-nilai Barat.

Sebahagian masyarakat Islam kini juga sedang menghadapi bahaya kerana mendewakan idea-idea barat buatan manusia. Hal ini amat membimbangkan kerana dikhuatiri mereka akan termasuk ke dalam golongan yang disifatkan dalam firman Allah S.W.T.:

Mereka menjadikan orang-orang alimnya, dan rahib-rahib mereka sebagai Tuhan selain Allah, dan (juga mereka mempertuhankan) Al Masih putera Maryam; padahal mereka hanya disuruh menyembah Tuhan Yang Maha Esa; tidak ada Tuhan selain Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka persekutukan
(Surah At Taubah ayat 31)

Mujahid Sa'id Hawwa telah memberikan penjelasan  dalam kitabnya, Jundu Allah Thaqafatan Wa Akhlaqan, bahawa Imam Tarmizi meri­wayatkan bahawa 'Adi Bin Hatim at-Ta'i datang berjumpa Rasulullah S.A.W. sedang baginda membaca ayat tersebut. 'Adi berkata kepada Rasulullah S.A.W.: "Sesungguhnya Ahli-ahli kitab itu tidak pernah menyembah pendita-pendita mereka". Maka Rasulullah S.A.W. berkata kepada 'Adi: "Ya!, sesungguhnya mereka mengharamkan ke atas ahli Kitab sesuatu yang halal serta menghalalkan sesuatu yang haram dan mereka (Ahli Kitab) mematuhinya, maka itulah bentuk penyemba­han kepada mereka (pendita-pendita) tersebut."

Mujahid Sa'id Hawwa menjelaskan lagi bahawa jika dilihat kepada realiti masyarakat Islam kini ternyata bahawa mereka melaksanakan hukum-hukum selain daripada hukum Allah S.W.T.

Di kalangan orang ramai terdapat berbagai sikap dan pandangan. Ada yang berterus terang mengajak kepada perlaksanaan hukum lain selain hukum Allah S.W.T. Ada yang bertindak sedemikian secara bersembunyi. Ada yang berpendapat bahawa hukum-hukum Islam itu tidak sesuai untuk dilaksanakan. Ada yang berpuas hati dengan sistem kufur yang berjalan hingga jika diajak untuk merubahnya maka ia enggan. Ada yang mempersendakan dan mengejek apabila diajak kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah .Tidak kurang juga yang ada menyatakan bahawa kerja-kerja untuk melaksanakan hukum-hukum Islam itu telah ketinggalan zaman serta tidak bertamaddun lagi.Sikap-sikap sedemikian amat merbahaya serta dibimbangkan akan termasuk ke dalam golongan yang difirmankan oleh Allah S.W.T. :

"Tidakkah kamu melihat mereka yang menyangka mereka itu beriman dengan apa yang ditanzilkan kepada engkau (Muhammad) dan apa yang telah ditanzilkan sebelum engkau, mereka mahu berhukum kepada Taghut (sistem selain Islam) sedangkan mereka diperintahkan menolak Taghut, dan syaitan itu mahu menyesatkan mereka sesesat-sesatnya."
( Surah an-Nisa': ayat 60.)

Kejahilan Masyarakat Tentang Hakikat Islam.    

Menurut Asy-Syahid Dr. Abdul Qadir 'Audah di dalam kitabnya, Al-Islam Wa Audha'una as-Siyasiyyah, bahawa semua orang Islam di dunia ini mengaku beragama Islam dan kebanyakan mereka berbangga dengan nama tersebut. Tetapi dukacita sekali kebanyakan mereka tidak mengetahui hakikat Islam yang sebenarnya. Islam tidak ada hubungan dengan hati mereka meskipun ada hubungan dengan tutur kata mereka.

Kejahilan dengan Islam telah membawa mereka jauh daripada hukum-hukum Islam .Mereka menolak hukum-hakamnya menyebabkan berlaku keruntuhan umat Islam itu sendiri.


Sebenarnya Islam adalah satu sistem hidup pilihan Allah S.W.T. Ini telah ditegaskan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya :

Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Tiada berselisih orang-orang yang diberi Al Kitab kecuali sesudah datang pengetahuan kepada mereka, kerana kedengkian (yang ada) di antara mereka. Barang siapa yang kafir  terhadap ayat-ayat Allah maka sesungguhnya Allah sangat cepat HisabNya. “
(Surah ali ‘Imran ayat 19)


Diharamkan bagimu (memakan)  bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang dipukul, yang jatuh, yang ditanduk, dan yang diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasih dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah berputus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepadaKu. Pada hari ini Ku sempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku cukupkan  kepadamu nikmatKu dan telah Ku redhai Islam itu menjadi agama bagimu. Maka barangsiapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pegampun lagi Maha Penyayang. “
(Surah al Maa-idah ayat 3)

Allah S.W.T. sama sekali tidak menerima sistem hidup yang lain daripada sistem hidup Islam. Hal ini telah diterangkan oleh Allah S.W.T. dalam firmanNya :


"Sesiapa yang mencari selain daripada  al-Islam sebagai Din (cara hidup), maka sama sekali tidak diterima daripadanya dan dia di akhirat kelak terdiri daripada golongan orang yang rugi."
(Surah Ali 'Imran: ayat 85).


" Maka (Zat yang demikian) itulah Allah Tuhan kamu yang sebenarnya; maka tidak ada sesudah kebenaran itu, melainkan kesesatan. Maka  bagaimanakah  kamu dipalingkan (dari kebenaran) ? “
(Surah Yunus: ayat 32).

Allah S.W.T. juga tidak mengutuskan seseorang rasulNya melainkan dengan kebenaran dan al-Kitab . Firman Allah S.W.T.:


“ Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu dengan membawa kebenaran, supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah  Allah wahyukan kepadamu, dan janganlah kamu menjadi penentang(orang-orang yang tidak bersalah) , kerena (membela) orang-orang yang khianat
(Surah An Nisaa’ ayat 105)



"Dialah yang mengutuskan RasulNya (dengan membawa)  pertunjuk (al Quran)  dan dengan Din yang benar untuk dimenangkan Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai  "         
(Surah at-Taubah: ayat 33.)

Jika demikian sifat Islam maka mengapa masih kedapatan ramai yang masih mencari-cari sistem yang lain daripada sistem Islam? Se­sungguhnya mereka yang menolak sistem Islam yang merupakan jalan menuju Allah S.W.T., menolak al-Quran dan menukar gantinya dengan ideologi-ideologi yang lain, maka mereka sebenarnya telah disela­puti dengan kegelapan dan kesesatan.Mereka jahil terhadap hakikat Islam itu sendiri. Kejahilan itu membawa mereka yakin terhadap ideologi-ideologi seperti demokrasi , kapitalisme barat, yakin komunisme dan sosialime Timur,meskipun mereka mengaku percaya kepada Allah S.W.T. Kejahilan  menyebabkan ada yang menyatukan Islam dengan ideologi-ideologi lain seperti melaungkan demokrasi Islam dan sosialis Islam  dengan harapan supaya diterima oleh masyarakat. Sebenarnya penamaan tersebut bererti menzalimi Islam,sedangkan Islam bersih daripada penamaan-penamaan tersebut. Islam adalah Islam.Tidak ada sistem tiruan dan cedokan daripada mana-mana sistem lain.Ia tidak boleh sama sekali disamakan dengan mana-mana sistem kerana ia ditanzilkan oleh Allah S.W.T. 



Mesti Kembali Kepada Sumber-Sumber Islam Yang Sahih.

Prof. Dr. Yusuf Qaradhawi telah menekankan dalam kitabnya, al-Hill al-Islami Faridhah Wa Dharurah, bahawa kita mesti kembali kepada sumber Islam yang suci lagi bersih iaitu Kitab Allah dan Sunnah RasulNya.Kita mesti kembali kepada fahaman Islam yang sebenarnya sepertimana yang ditanzilkan oleh Allah S.W.T, kepada Rasulullah S.A.W. serta yang difahami oleh para sahabat r.a. serta pengikut-pengikut mereka.

Dalam hal ini Mujahid Fathi Yakan juga telah menjelaskan dalam kitabnya, Musykilah ad-Da'wah Wa ad-Da'iyah, bahawa kita perlu menimba kefahaman dari al-Quran dan Sunnah Rasulullah S.A.W. serta Sirah an-Nabawiyyah. Juga amat perlu kita merujuk kepada kitab-kitab yang  muktabar semoga kita jelas mengenai konsep yang sebenar mengenai Din al-Islam. Ini meliputi hukum-hakam, peru­ndangan, 'aqidah, 'ibadah dan haluan hidup  individu, masyarakat dan negara.

Tumpuan yang berat mestilah diberi kepada al-Quran al-Karim yang disifatkan sebagai cahaya hati dan sistem hidup kita.Penerimaan ayat-ayat al-Quran hendaklah disifatkan seperti kita sedang menerima wahyu (perintah Allah S.W.T.).Dengan itu, barulah kita merasai bahawa al-Quran itu menghalakan  perintahnya kepada kita dalam semua hal. Barulah Al-Quran akan berkesan kepada jiwa dan menghasilkan natijah.

Kembali Kepada Generasi Awal


Kita perlu melihat kembali kepada generasi awal Islam yang telah dijelaskan di dalam kitab-kitab muktabar seperti Ma'alim Fi at-Tariq ( Sayyid Qutb ) dan Maza Khasira ad-'Alam Bi Inhitat  al-Muslimin ( Abu al-Hasan Ali al-Husni an-Nadawi ) di mana generasi tersebut  dikenali sebagai Generasi al-Quran yang hanya mengambil sistem yang ditanzilkan oleh Allah S.W.T. sahaja. Mereka tidak mencipta sistem hidup menurut kehendak nafsu mereka sendiri. Mereka faham adalah punca kezaliman, kesesatan dan kejahilan adalah akibat kehidupan tanpa hidayah dari Allah S.W.T. Mereka tidak secara meraba-raba memilih jalan hidup, sistem politik dan corak sosial. Mereka telah menerima wahyu dari Allah S.W.T. bagi menerangi serta memandu jalan hidup mereka.  

Generasi tersebut sebenarnya telah menjalani latihan dan tar­biyyah yang lama di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W. berpandukan wahyu Allah S.W.T. sebagai sumber pembentukan hingga lahir peri­badi-peribadi Muslim yang berjiwa tauhid, tidak terpengaruh atau dipengaruhi oleh nilai tamak keduniaan .Mereka hanya bermatlamat­kan keredhaan Allah S.W.T. semata-mata. Kehidupan jahiliyyah sudah tidak bernilai lagi bagi mereka. Mereka hanya menyerah kepada panggilan Iman di bawah arahan Rasulullah S.A.W. pada hal mereka sedar bahawa mereka akan menghadapi ancaman daripada masyarakat jahiliyyah di sekeliling mereka. Mereka  faham bahawa orang-orang mu'min pasti diuji keimanan mereka. Firman Allah S.W.T:


" Apakah menusia itu menyangka bahawa mereka itu akan dibiarkan mereka berkata: Kami telah beriman. sedangkan mereka tidak lagi diuji. "
 (Surah al-Ankabut: ayat 2).

Generasi pertama Islam itu telahpun berjaya menghapuskan al-Ghurbah al-Awwal. Kita generasi sekarang wajiblah pula bekerja untuk menghapuskan al-Ghurbah ath-Thaniyah. Hal ini pernah dite­gaskan oleh Prof. Muhammad Qutb dalam suatu ceramahnya yang bertajuk Falana'rif Haqiqah Islamina.

Umat Perlu Dibangunkan Mengikut Kehendak Allah


Kita tidak boleh memahami Islam hanya sekadar melihat sepintas lalu amalan hidup ummat yang mengaku Islam hari ini.Sekarang, Islam telah dikelirukan. Masyarakat Arab 14 abad yang lalu juga tidak dapat melihat kebenaran kerana kebenaran itu telah dikelir­ukan oleh sifat-sifat fujur yang menguasai manusia itu sendiri.

Raslullah S.A.W. telah diutuskan dengan membawa kembali nilai yang betul terhadap Islam, manusia dan kehidupan melalui jalan Iman kepada Allah S.W.T. Melalui Imanlah kita akan dapat menilai alam, manusia dan kehidupan ini dengan betul.

Perlu diyakini bahawa mana-mana umat yang tidak diproses mengikut saluran yang Allah S.W.T. kehendaki  tentulah tidak dapat mela­hirkan natijah hidup Islam .

Kita tidak gemar untuk bercakap banyak dalam hal ini, tetapi oleh kerana ketiadaan Ummah yang benar-benar menghayati Islam maka kita perlu memberi kefahaman serta kesedaran Islam sebenar. Kita tidak menafikan bahawa di sana-sini ada individu-individu melaku­kan amalan Islam, tetapi tidak dinyatakan dalam satu Jamaah.
Untuk mendapatkan kefahaman dan kesedaran itu kembali,maka perlu­lah kita kembali kepada proses tarbiyyah yang pernah berjalan di bawah pimpinan Rasulullah S.A.W. atau yang disebut sebagai Madra­sah Rasulullah.


Wallahu A'alam

Thursday 23 June 2011

Hari Esok Untuk Islam II


Untuk makluman,entri ini adalah sambungan dari entri yang lepas.Sila klik untuk bacaan.

Kemenangan Islam Menurut Al Quran.

 Kemenangan Islam terhadap agama-agama lain.
" Dia yang mengutuskan RasulNya dengan petunjuk dan agama yang benar(agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai" (At Taubah: 33)

 Mukmin sebagai khalifah di muka bumi.

 "Dan Allah telah menjanjikan bagi orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan amalan soleh, bahawa Allah akan mengangkat mereka menjadi khalifah di muka bumi, sebagaimana orang-orang dahulu telah menjadi khalifah, dan Allah akan menetapkan agama mereka(Islam) yang diredhainya untuk mereka, dan akan menggantikan ketakutan mereka dengan keamanan. Mereka menyembah Aku dan tidak menyekutukan Aku dengan sesuatu apa pun. Barang siapa yang kafir sesudah itu, maka mereka itulah orang yang fasik." (An-Nur: 55)

 Pertolongan Allah kepada Mukminin.

  "Sehinggalah rasul-rasul itu telah berputus asa, dan mereka menyangka bahawa mereka telah didustakan, datanglah kepada mereka pertolongan kami, lalu diselamatkan orang-orang yang kami kehendaki. Dan tidak dapat ditolak seksa kami daripada orang-orang yang berdosa." (Yusuf: 110)

 Hancurnya perancangan dan tipu daya musuh.

 "Mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya mereka dan Allah adalah sebaik-baik pembalas tipu daya."( Al Anfal: 30)

Iman ibarat mutiara dalam diri,sukar sekali untuk didapati tanpa usaha menggunung tinggi.


 Kemenangan  Islam menurut As Sunnah

Tersebarnya Islam di seluruh alam.

 Diriwayatkan oleh Tamim Ad Dari, berkata: Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: "Sesungguhnya, urusan ini (Islam) akan sampai ke mana sahaja tidak kira malam dan siang. Allah tidak akan meninggalkan sebuah rumah pun daripada penduduk dusun dan kampung melainkan Allah akan memasukkan ke dalamnya  agama ini, sama ada memuliakan orang yang mulia ataupun dengan  menghina orang yang hina, iaitu Allah muliakan dengan Islam dan menghinakan dengan kekufuran. (Riwayat Ahmad)

 Kekuasaan Islam di Timur dan Barat.

 Daripada Thauban daripada Nabi s.a.w bersabda: " Sesungguhnya Allah telah melipatkan bumi bagiku (menghimpunkan dan mengumpulkannya) lalu aku dapat melihat timur dan baratnya. Sesungguhnya kekuasaan umatku akan sampai ke semua tempat bumi yang dilipatkan bagiku.."  (Riwayat Muslim) 

Kemenangan Muslimin terhadap Yahudi.

 Daripada Abu Hurairah, bahawa Nabi s.a.w bersabda: "Tidak berlaku kiamat sehingga muslimin memerangi Yahudi. Mereka dibunuh oleh muslimin sehingga  orang yahudi bersembunyi di sebalik batu dan pokok. Batu dan pokok itu berkata: Wahai muslim, wahai hamba Allah, Ini dia yahudi berada dibelakangku. Kemarilah dan bunuhlah dia. Melainkan pokok gharqad. Sesungguhnya ia adalah daripada pokok Yahudi" (Riwayat Muslim)

Pokok Gharqad.

 Kembalinya khalifah di atas manhaj Nubuwwah.

 Daripada Huzaifah, bahawa Nabi s.a.w bersabda: Berlakunya zaman  kenabian di kalangan kamu sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk berlaku. Kemudian Allah mengangkatkannya (menghilangkannya) ketika mana dia menghendaki. Kemudian berlaku pula khilafah di atas manhaj kenabian. Maka berlangsunglah ia sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah untuk berlaku. Kemudian Allah mengangkat ketika mana Dia mengkehendakinya.  Kemudian berlakunya pula pemerintahan raja yang 'menggigit' (zalim). Maka berlakula ia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian Allah megangkatkannya. Kemudian berlaku pula pemerintahan raja 'paksaan' (kuku besi). Maka berlakulah ia sepertimana yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian Allah mengangkatkannya ketika mana dia mengkehendaki. Kemudian berlaku pula khilafah di atas manhaj kenabian.

Tuesday 21 June 2011

Banteraslah!!!Ancaman Daripada Segenap Sudut.


" Jika musuh kita menyerang daripada segenap sudut yang ada, adakah kita akan selamat dengan bertahan hanya pada satu sudut?"
" Jika mata kita selamat daripada melihat aurat belum tentu telinga kita selamat daripada mendengar orang mengumpat. "
 " Jika tangan kita bebas daripada mencuri, belum tentu kaki kita terhindar daripada melangkah ke tempat maksiat."
" Jika mulut kita bersih daripada yang haram, belum tentu kemaluan kita terhindar daripada dosa dan rangsangan."

Musuh itu pasti menyerang daripada segenap sudut dan melalui segala kemungkinan yang ada. Musuh itu berupakan nafsu yang ada di dalam dirimu atau godaan daripada luar.
Dalam dunia yang sedang kita jalani sekarang, serangan itu semakin menjadi-jadi. Semua perkara dan alat yang kita gunakan di dalam kehidupan seharian akan diaplikasikan oleh musuh-musuh kita untuk melemahkan dan menghancurkan kita.
Hanya dengan melayari internet, kita terus terdedah kepada serangan tersebut sekalipun kita tidak berniat untuk melakukan kemungkaran. Apabila memandu melalui jalan-jalan di kota, kita terus dapat melihat serangan itu terpapar besar di papan-papan iklan. Wanita-wanita mendedahkan bahagian tubuhnya yang merangsang pemikiran lelaki.
Hanya dengan berjalan di sebuah pasaraya untuk memberi barangan keperluan, kita akan terlihat begitu banyak bentuk rangsangan yang merosakkan kekhusyukan ibadah kita. Bahkan hanya dengan memiliki sebuah telefon bimbit, sekian banyak 'SMS' yang masuk menawarkan aksi-aksi panas.
Serangan-serangan yang sedang kita hadapi ini bukanlah sesuatu yang biasa dan sangat menyesakkan dada. Setiap hari kita berhadapan dengannya tanpa diminta. Kita merasakan selamat kerana kita telah sebati di dalamnya. Boleh jadi juga kita sebenarnya telah kalah dan mungkin telah menjadi agen dalaman yang menyerang orang lain.
Kita sebenarnya tidak selamat jika kita hanya bertahan daripada satu sudut. Kita memerlukan sistem pertahanan yang memelihara kita daripada segenap sudut. Kita mesti menahan seluruh anggota yang mungkin diserang oleh musuh termasuk hati. Ya, sekalipun jasad kita selamat daripada benar-benar tewas, hati kita mungkin diserang penyakit yang sukar diubati.
Lebih teruk lagi jika kita gagal menyedari bahawa serangan-serangan itu wujud. Bahkan bertambah malang jika kita sudah tidak mahu bertahan lagi dan asyik dengan hidangan-hidangan yang dipaparkan kepada kita. Suatu hari, kita pasti hancur bersamanya.
Ghazwul fikri (serangan pemikiran) yang kita hadapi ini perlu ditentang dan dilawan secara berterusan. Walaupun kita belum mampu membina sebuah gelombang atau sistem yang boleh menghancurkan serangan sedia ada, bertahanlah daripada serangan dalam diri masing-masing.
"Aku sudah cukup kuat, aku pasti selamat."
" Bagaimana dengan ibu dan ayah kita? Adik-beradik kita, anak dan isteri kita nanti? Adakah kita ingin selamat seorang diri sedangkan Al-Quran memerintahkan untuk kita menjaga diri dan ahli keluarga kita daripada api neraka? "
Binalah kekuatan dalaman dengan bersungguh-sungguh dan dengan penuh kesedaran bahawa kita tidak akan selamat jika kita tidak bersedia untuk sebarang kemungkinan.
" Boleh jadi hari ini kita dapat mengelak, namun esok engkau kita terkandas jua."
Kekuatan iman dan takwa perlu digilap dan ditingkatkan supaya kita boleh bertahan dengan semua bentuk serangan. Kuncinya, bersabarlah kerana memang tak mudah.

" Sedarlah bahawa kita ibarat hidangan di mata musuh kita, bila-bila masa kita akan diterkam dan dimusnahkan jika kita tidak berjaga-jaga. Ya, musuh yang boleh muncul daripada mana-mana sudut dalam apa jua keadaan. Bersedialah. "

Sunday 19 June 2011

Abu Dzar Al-Ghifari


Meskipun tidak  sepopular  sahabat-sahabat besar seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, dan Ali, namun sosoknya tidak dapat dilepaskan sebagai tokoh yang paling giat menerapkan prinsip egaliter, kesetaraan dalam hal membelanjakan harta di jalan Allah. Ditentangnya semua orang yang cenderung mengumpulkan harta untuk kepentingan peribadi, termasuk sahabat-sahabatnya sendiri.

Pada zaman Khalifah Uthman, pendapat kerasnya tentang gejala nepotisme dan penumpukan harta yang terjadi di kalangan Quraisy membuat dia dikecam banyak pihak. Sikap yang serupa ditunjukkan kepada pemerintahan Muawiyah yang menjadi gabenor  Syria. Baginya, adalah wajib kepada setiap muslim  sejati  untuk menyalurkan kelebihan hartanya kepada saudara-saudaranya yang miskin.

Abu Dzar menegur  Muawiyah yang membangunkan istana hijaunya atau Istana Al Khizra, "Kalau Anda membangunkan  istana ini dengan wang negara, bererti anda telah menyalahgunakan wang negara. Kalau anda membangunkannya dengan wang anda sendiri bererti anda telah  boros," katanya. Muawiyah hanya terdiam mendengar teguran sahabatnya ini.

Dukungannya kepada semangat solidaritas sosial, kepedulian kalangan berpunya kepada kaum miskin, bukan hanya dalam ucapan. Seluruh sikap hidupnya ditunjukkan kepada usaha penumbuhan semangat tersebut. Sikap wara' dan zuhud sering menjadi perilaku hidupnya. Sikapnya inilah yang dipuji Rasulullah SAW. Saat Rasul ingin pulang, Abu Dzar dipanggilnya. Sambil memeluk Abu Dzar, Nabi berkata "Abu Dzar akan tetap sama sepanjang hidupnya. Dia tidak akan berubah walaupun aku meninggal nanti." Ucapan Nabi ternyata benar. Hingga akhir hayatnya kemudian, Abu Dzar tetap dalam kesederhanaan dan sangat soleh.

Nama sebenar Abu Dzar adalah  Jundab. Dahulu,dia adalah seorang perompak yang mewarisi karier orang tuanya selaku pimpinan besar perompak kafilah yang melalui kawasan itu. Rompakan di wilayah sekitar kawasan  perdagangan itu selalu dilakukannya untuk mendapatkan harta dengan cara mudah. Hidupnya penuh dengan kejahatan dan kekerasan. Siapa pun di Tanah Arab pada masa itu tahu, kawasan perdagangan Mekkah-Syiria dikuasai perompak suku Ghiffar, sukunya.

Namun begitu, hati kecil Abu Dzar sesungguhnya tidak menerimanya. Pergolakan batin membuatnya sangat menyesali perbuatan buruk tersebut. Akhirnya dia melepaskan semua jabatan dan kekayaan yang dimilikinya. Kaumnya pun diserunya untuk berhenti merompak. Tindakannya itu menimbulkan amarah sukunya. Abu Dzar akhirnya hijrah ke Nejed bersama ibu dan saudara laki-lakinya, Anis, dan menetap di kediaman bapa saudaranya.

Di tempat ini juga dia tidak lama. Idea-ideanya yang revolusioner berkait dengan sikap hidup tidak mengabaikan sesama dan mendistribusikan sebahagian harta yang dimiliki, menimbulkan kebencian orang-orang sesuku. Hal ini  diadukan kepada bapa saudaranya. Abu Dzar kembali berhijrah ke kampung yang berdekatan  Mekkah. Di tempat inilah dia mendapat khabar dari Anis, tentang kehadiran Rasulullah SAW dengan ajaran Islam.

Abu Dzar segera menemui Rasulullah SAW. Melihat ajarannya yang seiring dengan sikap hidupnya selama ini, akhirnya dia masuk Islam. Tanpa ragu-ragu, dia mempamerkan keislamannya di depan Kaa'bah, saat semua orang masih merahsiakan keislaman mereka kerana khuatir akan akibatnya. Tentu saja pengakuan ini menimbulkan amarah warga Mekkah. Dia dipukul dan hampir saja terbunuh apabila Abbas, bapa saudara  Rasulullah SAW, tidak meleraikan dan mengingatkan warga Mekkah bahawa Abu Dzar adalah warga Ghiffar yang akan menuntut balas jika mereka membunuhnya.

Sejak itu, Abu Dzar menghabiskan hari-harinya untuk mencapai kejayaan Islam. Tugas pertama yang diembankan Rasul di pundaknya adalah mengajarkan Islam di kalangan sukunya. Ternyata, bukan hanya ibu dan saudaranya, namun hampir seluruh kaumnya yang suka merompak  akhirnya masuk Islam. Sikap hidupnya yang menentang keras segala bentuk penumpukkan harta  disampaikan juga kepada mereka. Namun, tidak semua menyukai tindakannya itu. Di masa Khalifah Uthman, dia mendapat kecaman dari kaum Quraisy, termasuk salah satu tokohnya, Muawiyah bin Abu sufyan.

Suatu kali pernah Muawiyah yang kala itu menjadi Gabenor Syiria, mengatur perdebatan antara Abu Dzar dengan para ahli tentang sikap hidupnya. Tujuannya agar Abu Dzar membolehkan umat mengumpul kekayaannya. Namun, usaha itu tidak menggoyahkan keteguhan pandangannya. Kerana jengkel, Muawiyah melaporkan kepada Khalifah Uthman tentang Abu Dzar. Khalifah segera memanggil Abu Dzar. Memenuhi panggilan Khalifah, Abu Dzar mendapat sambutan hangat di Madinah. Namun,dia juga tidak betah tinggal di kota Nabi tersebut kerana orang-orang kaya di kota itu juga tidak menyukai seruannya untuk pemerataan kekayaan. Akhirnya Uthman meminta Abu Dzar meninggalkan Madinah dan tinggal di Rabza, sebuah kampung kecil di jalur jalan kafilah Irak Madinah.

Di kampung inilah Abu Dzar wafat kerana usianya sudah lanjut pada 8 Dzulhijjah 32 Hijriah. Jasadnya terbaring di jalur kafilah itu hanya ditunggui jandanya. Hampir saja tidak ada yang menguburkan sahabat Rasulullah SAW ini,namun  terdapat  kafilah haji yang menuju ke  Mekkah. Kafilah haji itu segera berhenti dan mensolatkan jenazah dengan imam  Abdullah ibn Mas’ud, seorang sarjana Islam terkemuka pada  masa itu.




Followers