Friday 29 July 2011

Perkara yang ditokok tambah ke dalam ibadah puasa.



Perkara yang ditokok tambah ke dalam ibadah puasa sehingga benar-benar memberatkan umat Islam ialah perkara-perkara yang dianggap membatalkan puasa.

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:
Para ahli fiqh radhiallahu 'anhum telah memperluas pembahasan hal-hal yang membatalkan puasa sedemikian rupa sehingga saya tidak yakin hal-hal tersebutpernah terfikir di benak seorang jua daripada para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, yakni orang-orang yang menyaksikan secara langsung penurunan al-Qur'an, yang memahami secara terus pesanan Allah dan Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman dan yang berpegang teguh kepadanya denga sebaik-baiknya.Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57 perkara manakala fuqaha Mazhab al-Syafi`e tidak kalah banyaknya. Sejumlah ulama' masa kini bahkan memperincikan hal-hal yang dapat membatalkan puasa secara aneh. Mereka membuat kaedah-kaedah lalu membangun di atasnya cabang-cabang persoalan yang tidak terhitung bilangannya. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur'an dan al-Sunnah. Ada di antara mereka yang berkata bahawa kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil umpamanya, ke dalam rongga badan orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya. [Fiqh al-Siyam (edisi terjemahan oleh Ma'ruf Abdul Jalil dan rakan-rakan dengan judul Fiqh Puasa; Era Intermedia, Solo 2001), ms. 118 & 107-108]

Perkara yang sebenarnya membatalkan puasa hanya empat iaitu makan, minum, bersetubuh dan mengambil apa yang berupa kenikmatan kepada diri seperti menghisap rokok. Dalilnya adalah hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa Allah berfirman (Hadis Qudsi

Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya…kecuali puasa maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak Adam) (1) meninggalkan makanan kerana Aku dan (2) meninggalkan minuman kerana Aku dan (3) meninggalan kenikmatan kerana Aku dan (4) meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh) kerana Aku. [Shahih Ibn Khuzaimah – hadis no: 1897 dengan isnad yang dinilai sahih oleh Muhammad Mustafa al-`Azami]



Adapun selain empat perkara di atas, ianya tidak membatalkan puasa. Memasukkan pen ke dalam mulut, merasa masakan dengan lidah (kemudian diludah keluar), menelan air liur, mencuci telinga dengan cotton buds, debu yang masuk ke dalam hidung, titisan ubat mata yang mengalir ke dalam rongga mata dan sebagainya, ini semua tidak membatalkan puasa kerana ia bukanlah makanan dan minuman atau suatu kenikmatan kepada tuan punya diri. 

Sebagai contoh, menelan air liur tidak pernah dikenali sebagai satu minuman bagi manusia dan menelannya jarang-jarang menghasilkan kenikmatan kepada orang yang normal. Seandainya menelan air liur adalah satu minuman, nescaya tidak ada orang yang mati kehausan jika terdampar di padang pasir. 

Demikian juga suntikan ubat ke dalam darah seperti insulin kepada pesakit kencing manis, maka ia tidak membatalkan puasa. Adapun suntikan yang berupa cecair glukosa seperti yang diberikan kepada pesakit yang tidak dapat makan dan minum seperti biasa, maka dalam hal ini terdapat dua pendapat, yang pertama berkata tidak batal manakala yang kedua berkata batal. Yang benar adalah pesakit itu sendiri tidak perlu berpuasa kerana kesakitan sehingga ke tahap tidak dapat makan dan minum masuk ke dalam kategori keuzuran yang amat dianjurkan untuk tidak berpuasa.

Apa sahaja yang memasuki tubuh badan orang yang berpuasa, sama ada melalui rongga-rongga yang terbuka atau melalui cara lain, ia tidak membatalkan puasanya selagi mana benda yang masuk itu bukan makanan, minuman atau sesuatu yang memberi kenikmatan kepada orang tersebut. Dalil yang lazimnya digunakan oleh pihak yang mengatakan batal puasa bagi seseorang yang memasuk sesuatu ke dalam rongga badannya ialah hadis berikut:

Sempurnakanlah wudhu' dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa. [Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani di dalam Shahih Ibn Majah – hadis no: 333 (Kitab Thaharah, Bab Anjuran menyedut air ke dalam hidung…)]Berdasarkan sabda Rasulullah "…kecuali jika kamu sedang berpuasa" mereka memahami bahawa seseorang itu dilarang menyedut air ke dalam hidung apabila sedang mengambil wudhu' dalam keadaan berpuasa. Jika dimasukkan air, ia akan membatalkan puasa. Kemudian fahaman ini diqiyaskan kepada semua rongga tubuh badan.Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada "bersungguh-sungguh" dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain, yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu' dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga ditelan sebagai "minuman." [Syaikh Yusuf al-Qaradhawi - Fiqh al-Siyam, ms. 117]



Demikian dua perkara yang ingin dibawa kepada perhatian para pembaca sekalian, satu berkenaan beberapa kemudahan dan kelonggaran hukum yang kini lazimnya ditinggalkan, kedua berkenaan perkara-perkara yang dianggap membatalkan puasa yang sebenarnya merupakan tokok tambah di atas apa yang sebenarnya tidak disyaratkan oleh al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih. Pasti sahaja terdapat beberapa perkara lain yang masih memerlukan perhatian para pembaca sekalian. Antara perkara yang kini ditinggalkan oleh sebahagian umat Islam ialah mengakhirkan sahur sebelum berpuasa. Sebahagian umat Islam kini  bersahur pada lewat malam sebelum mereka tidur. Sunnah baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang mulia mengajar kita bahawa sahur hendaklah dilewatkan sehingga ke saat jelas kepada kita waktu Subuh telah masuk. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Bersahurlah kerana sesungguhnya di dalam sahur ada keberkatan. [Shahih al-Bukhari – hadis no: 1923 (Kitab Puasa, Bab Keberkatan bersahur)]

Pembeza antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur. [Shahih Muslim – hadis no: 1096 (Kitab Puasa, Bab Keutamaan sahur…)]

Makan sahur adalah keberkatan makan janganlah kamu tinggalkannya sekalipun kamu hanya minum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur. [Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan dinilai hasan oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Jami' al-Shagheir – hadis no: 3683]


Antara perkara lain yang ditokok tambah pula ialah:

1.    Mewajibkan lafaz niat sebelum puasa. Membaca lafaz niat untuk berpuasa atau untuk mana-mana ibadah lain seperti wudhu dan solat sebenarnya adalah tidak perlu, jauh sekali daripada bersifat wajib. Yang wajib adalah seseorang itu mengetahui dengan sedar ibadah apa yang bakal dilakukannya. Jika seseorang itu lazimnya
diganggu dengan perasaan was-was, maka dianjurkan melintaskan di dalam hati sekadar "Inilah puasa aku" atau "Inilah solat Zohor aku". Jika masih was-was maka boleh menyebutnya secara lisan. Jika setelah itu masih was-was, maka janganlah diberi perhatian lagi kerana ia tidak lain adalah permainan syaitan.

2.    Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh. Tindakan ini sebenarnya menjauhi sunnah dan bukan mendekatinya atas alasan "berhati-hati." Lebih-lebih lagi pada masa kini, umat Islam tidak perlu "berhati-hati" terlanjur makan dan minum kerana mereka dapat mengetahui masuknya waktu Subuh dengan tepat dengan merujuk kepada jadual waktu solat masing-masing. Firman
Allah 'Azza wa Jalla:
Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. [al-Baqarah 2:187]

Thursday 28 July 2011

Marhaban Ya Ramadhan


Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan


وَإِنَّهُ لَذِكْرٌ لَكَ وَلِقَوْمِكَ وَسَوْفَ تُسْأَلُونَ
“Dan sesungguhnya al-Qur'an itu benar-benar adalah suatu kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu dan kelak kamu akan diminta pertanggungan jawab” (QS Az-Zukhruf: 44).

Ketika Allah Swt menjadikan Islam sebagai rahmat buat alam semesta; ketika Allah Swt. menghendaki dari umat Islam menjadi umat terbaik, ketika Allah Swt menghendaki agar umat Islam mampu memikul amanah untuk memimpin dunia ini, ketika Allah menghendaki agar umat Islam menjadi saksi bagi seluruh umat manusia, maka ketika itulah Allah Swt mempersiapkan umat Islam sedemikian rupa, agar umat Islam ini layak menjadi umat yang terbaik. Di antara sarananya adalah dengan pembentukan manusia yang bertaqwa. Pembentukan manusia yang bertaqwa inilah yang banyak dilupakan manusia, sehingga ukuran kemajuan atau ukuran kesejahteraan hidup diukur dengan paradigma materi. Lupa bahawa manusia itu bukan hanya dari unsur materi saja, tetapi manusia punya nurani yang harus diperhatikan, yang harus dibina sehingga pantas untuk menjadi manusia yang terbaik. Oleh kerana itu Ramadhan hadir di tengah-tengah kita dalam rangka untuk menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik yang layak memimpin dunia ini.

Di dalam bulan Ramadhan banyak sekali nikmat dari Ilahi yang harus kita dapatkan, sehingga kita keluar dari bulan Ramadhan ini benar-benar menjadi manusia terbaik, manusia yang berkualiti, manusia yang berprestasi. Oleh kerana itu marilah kita benar-benar memahami puasa itu sebagaimana yang diharapkan Allah Swt.

Pertama, puasa membentuk manusia yang mengoptimumkan kontrol diri (self control). Mengapa? Kerana puasa sangat berkait dengan keimanan seseorang. Seseorang boleh saja mengatakan dirinya sedang berpuasa, sekalipun sebenarnya tidak. Oleh kerana itu puasa disebut ‘ibaadah sirriyyah (ibadah yang bersifat rahsia). Rahsia antara seorang hamba dengan Al-Khaliq. Hinggakan Allah Swt mengatakan dalam sebuah hadis Qudsi yang sering kita dengar “Kulluu ‘amali ibnu aadama lahu illash-shiyaam. Fa innahu lii wa ana ajzii bihi (setiap amal manusia untuk dirinya sendiri, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk aku. Dan akulah yang membalasnya)”. Pertanyaannya adalah apakah amal selain puasa tidak dibalas Allah? Dibalas. Tetapi kenapa dalam masalah puasa Allah menegaskan bahawa Dia yang akan membalasnya sehingga seolah-olah amal yang lain itu bukan Allah yang membalasnya? Ini merupakan isyarat Rabbaniyah bahawa amal manusia yang bernama ash-shiyam benar-benar insya Allah akan dijamin diterima oleh Allah Swt. Apakah yang lain tidak dijamin? Ini kerana puasa itu adalah ibadah sirriiyyah, dimana orang tidak mengetahui dan tidak melihat ketika dia berpuasa kerana ketika kita berpuasa, tidak ada orang lain yang tahu. Maka ibadah yang sirriyyah itu adalah sangat dekat dengan keikhlasan. Dan syarat agar suatu amal itu diterima oleh Allah, selain harus benar sesuai dengan ajaran Rasulullah Saw., harus ikhlas. Makanya kalau ingin menjadi orang yang popular, tidak boleh melalui pintu puasa. Kalau terkenal sebagai seorang mubaligh, boleh. Terkenal menjadi qori’ dan qori’ah, boleh. Terkenal menjadi ahli politik, boleh. Dan itu semuanya sangat rawan dengan riya’, dan riya’ itu menjadikan amal tidak diterima oleh Allah Swt. Itulah  sebabnya mengapa dalam kaitannya dengan puasa ini Allah menegaskan bahwa Dia sendiri yang akan membalasnya. Inilah yang dikatakan bahawa puasa akan melatih kita untuk mempunyai tingkat kontrol yang tinggi, baik ketika kita menjadi seorang pemimpin, atau karyawan, ulama’ atau yang lainnya. Kita tidak merasa dikontrol oleh yang lainnya, akan tetapi yang terpenting adalah bahawa kita sedar bahawa kita dikontrol oleh Allah Swt.

Yang kedua, lembaran shiyam ini mendorong kita agar kita obsesi tentang kehidupan akhirat dengan lebih dominan daripada obsesi dunia. Jadi obsesi ukhrowi kita, agar kita menjadi hamba Allah yang akan mendapatkan kenikmatan abadi, itu harus lebih dominan daripada kesenangan yang sifatnya sementara. Kerana seluruh kenikmatan yang ada di dunia ini, nikmat apa pun namanya, harta, pangkat, dan sebagainya itu semuanya bersifat sementara. Makanya dalam bahasa Al-Qur’an kenikmatan dunia itu tidak disebut nikmat, akan tetapi disebut mata’. Mata’ itu arti adalah maa yatamatta’u bihil insan tsumma yazulu qoliilan-qoliilan (mata’ adalah sesuatu yang disukai oleh manusia, akan tetapi sedikit demi sedikit akan hilang)”. Kalau kita ditakdirkan Allah mempunyai isteri yang sangat cantik, ketika sudah berusia 60 tahun, maka kecantikannya pasti akan luntur, sehingga mungkin kita berfikir mencari yang masih muda lagi. Kenapa? kerana kenikmatan dunia itu pasti ada batasnya. Ini adalah hal yang manusiawi. Puasa itu melatih kita agar obsesi yang ada dalam diri kita itu obsesi yang tentang kehidupan yang abadi di akhirat. Makanya makanan, minuman, isteri, dan semua yang halal itu kita gapai dalam rangka untuk mendapatkan kenikmatan yang abadi.

Dunia penuh dengan krisis kerana ramai yang obsesinya bukan obsesi ukhrowi. Ada orang yang ingin menjatuhkan orang lain, ada orang yang khuatir kalau-kalau dijatuhkan. Kalau obsesi duniawi ini dominan, boleh jadi kita akan kehilangan kehidupan ukhrowi kita. Ketika kita memasuki bulan Ramadhan, maka kita akan ditarbiyah oleh Allah agar obsesi kita adalah obsesi ukhrowi. Namun ini bukan bererti kehidupan duniawi dilarang. Akan tetapi duniawi itu bukan yang dominan dalam kehidupan kita. Makanya kita diajarkan untuk berdo’a “Walaa taj’al mushiibatana fii diinina, walaa taj’aliddun-yaa akbaro hammina (jangan jadikan dunia sebagai obsesi terbesar dalam kehidupan kami), walaa mablagho ‘ilmina, walaa ilannaari mashiirona. Do’a ini sering dibaca, akan tetapi dalam perbuatannya warnanya lain.

Yang ketiga, dari lembaran shiyam ini akan melahirkan manusia-manusia yang benar-benar mempunyai al-hasasiyyah al-ijtima’iyyah (mempunyai kepekaan sosial yang tinggi). Dari mana boleh kita ketahui? Ketika kita berpuasa sunat, baik Isnin-Khamis atau puasa ayyamul bidh, kita merasakan berpuasa sendirian. Dibandingkan dengan puasa di bulan Ramadhan, puasa sunat ini perasaan kita lebih berat, kerana dilaksanakan sendirian. Ini yang harus kita perhatikan, sekarang ini umat kita (sebahagian besar) sudah kehilangan kepekaan sosial. Kalau ada tindak kejahatan di tempat keramaian, sangat jarang kita temui orang yang peduli dengan membantu melawan penjahat. Kalau ada wanita yang sangat cantik lalu dan hampir semua mata melihat, apakah ada orang yang memprotes hal itu? Padahal, bukankah wanita itu isterinya orang yang haram untuk diperhati? Bahkan perbuatan seperti ini kadangkala diberikan pembenaran dengan dalih ‘mubadzir’ kalau tidak dilihat. Ini menunjukkan rendahnya sensitiviti keimanan (hasasiyah imaniyah). Yang ada adalah kerawanan dalam kehidupan sosial, kerana kemaksiatan sudah menguasai dan orang diam saja ketika melihatnya. Padahal di masa Rasulullah SAW, orang tidak akan tinggal diam ketika melihat suatu kemungkaran. Bahkan ketika jauh setelah kehidupan Rasulullah, baik di zaman tabi’in maupun tabi’it tabi’in, tetapi mereka masih memberi komitmen dengan ajaran Allah, maka sensitiviti sosial itu sangat tinggi. Misalnya, di zaman dahulu kalau kita solat jama’ah di masjid, kemudian kita melihat ada tetangga atau saudara kita tidak datang, maka setelah selesai soalat, semua jama’ah langsung mendatangi orang yang tidak solat berjama’ah tadi untuk menziarahinya, seolah-olah orang yang tidak solat jama’ah itu adalah orang yang mati sehingga perlu dita’ziyahi. Kalau seandainya kita tidak solat jama’ah dan kemudian kita dita’ziyahi, maka kita akan termotivasi untuk selalu solat jama’ah. Dan solat jama’ah adalah ibadah yang sangat berkait dengan sensitiviti sosial. Ironisnya di negara ini ketika ada orang diganggu, diragut, atau digoda, yang lainnya diam saja, dan bisikan yang ada dalam dirinya adalah ‘yang penting saya selamat’. Orang seperti ini adalah orang yang mati dalam kehidupannya, kerana bahasa masing-masing itu bahasa akhirat, bahasa ketika kiamat tiba, sehingga orang sibuk dengan urusannya masing-masing. Suami lari dari istri dan anaknya, anak lari dari orang tuanya. Allah berfirman:

“Dan apabila datang suara yang memekakkan (tiupan sangkalala yang kedua). Pada hari ketika manusia lari dari saudaranya, dari ibu dan bapaknya, dari istri dan anak-anaknya. Setiap orang dari mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkannya” (QS ‘Abasa: 33-37).

Jadi kehidupan masing-masing itu adalah kehidupan akhirat. Akan tetapi sekarang ini sudah ada di dunia., Bererti seolah-olah sebahagian masyarakat sudah merindukan kematian, padahal masih hidup. Makanya banyak kebajikan yang tidak jalan, keadilan tidak tegak. Dalam kondisi demikian, puasa hadir di tengah-tengah kita untuk memperlihatkan bagaimana Islam itu benar-benar mempunyai kepedulian terhadap kehidupan bermasyarakat.

Pada masa Rasulullah Saw., ada juga kemaksiatan. Ada juga shahabat yang berbuat maksiat, kerana mereka bukan malaikat. Sekalipun sebaik-baik generasi adalah genarasi Rasulullah Saw., akan tetapi ada saja yang berbuat maksiat. Ada yang pernah mencuri, ada yang pernah berbuat zina dan yang lainnya. Akan tetapi kriminal itu masih sangat kecil sekali, sehingga jarang ditemui. Itu pun bersifat peribadi dan dilakukan dengan sembunyi-sembunyi. Ironinya, sekarang maksiat itu dilakukan ramai-ramai dan secara terang-terangan tanpa malu-malu. Sehingga yang benar itu tertutup, keamanan tidak nampak. Yang nampak adalah sesuatu yang menakutkan. Bahkan kadang-kadang sampai di tempat yang suci seperti masjid, kadang-kadang orang tidak boleh khusyu’ solatnya kerana takut selipar atau kasutnya hilang. Kalau di masjid saja orang masih tidak khusyu’ beribadah kerana khuatir menjadi korban kejahatan, bagaimana di tempat yang lain? Ini semua kerana banyak orang yang telah kehilangan kepedulian sosialnya. Inilah bezanya antara zaman kita dengan zaman Rasulullah Saw. Bahkan di masa Rasulullah Saw., ketika ada seorang berbuat zina dan kemudian dia hamil, dia sendiri kemudian bertaubat dan malah dia sendirilah yang mengakui perbuatannya itu kepada Rasulullah Saw., kerana ketika dia berzina, itu terjadi kerana kelemahan imannya. Dalam hadis dijelaskan “Laa yadri azzani ila yazni wahuwa mu’min (tidaklah seseorang berani berbuat zina ketika zina, sementara dia dalam keadaan beriman)”. Ketika seorang perempuan tadi berzina, dan setelah itu ia sedar bahawa ia telah berbuat dosa, langsung dia datang kepada Rasulullah Saw. minta agar dia dihukum sesuai dengan ajaran Islam. mari kita merenung. Memang benar bahawa pada masa Raulullah pun ada orang yang berbuat salah. Akan tetapi ketika ada diantara mereka yang berbuat salah, dia langsung mengaku dan minta dihukum, padahal orang lain tidak tahu. Sekarang bagaimana kondisinya? Jadi kalau kita bersalah, hendaklah kita datang untuk minta dihukum. Kenapa? Kerana seorang mukmin yang benar-benar beriman, benar-benar yakin bahawa seksa akhirat itu lebih pedih. Dengan demikian, benar-benar akan efisien tenaga itu. Kalau seandainya semua orang sama dengan wanita yang bertaubat ini, maka aparat hukum tidak perlu capai-capai.

Ash-shiyam secara bahasa ertinya adalah al-habsu (menahan diri), menahan diri dari seluruh bentuk kemaksiatan. Kalau setiap kita menahan diri, jangankan terhadap yang haram, yang mubah saja akan kita tinggalkan. Makanan, minuman, isteri itu kan boleh. Akan tetapi di bulan Ramadhan pada siang harinya semua boleh kita tahan. Kalau yang halal saja boleh kita tahan, apalagi yang haram? Oleh kerana itu jangan dalam berpuasa malah terbalik, iaitu yang mubah ditinggalkan tetapi yang haram dilakukan. Makanan, minuman ditinggalkan, ghibah dilakukan, korupsi jalan terus, dengan alasan untuk persiapan lebaran.

Inilah kepekaan-kepekaan ruhani yang benar-benar mengalir dalam setiap diri kita ketika kita berpuasa sebagaimana yang dikehendaki Allah Swt. Dan jangan sampai ada di antara kita yang menganggap bahawa puasa itu berat. Bahkan Rasulullah Saw. dan para shahabat serta para tabi’in, banyak yang menggunakan Ramadhan untuk berjihad di jalan Allah Swt. Perang Badar, Perang Fathu Makkah, Perang ‘Iinu Jaalut yang terjadi pada abad ke-7 Hijriyah, dimana tentara-tentara Islam di bawah pimpinan mamaalik (jama’ dari mamluk) bisa mengalahkan tentara-tentara salib, terjadi di bulan Ramadhan. Saking hebatnya kemenangan yang dicapai umat Islam pada bulan Ramadhan, Allah Swt. mengabadikannya dalam Al-Qur’an, sebagaimana yang terdapat pada QS Al-Anfal, dimana perang Badar dikatakan sebagai yaumal furqoon, sebagaimana yang terdapat pada firmanNya:

“Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan Ibnu sabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) dihari Furqaan, yaitu di hari bertemunya dua pasukan. Dan Allah Maha Penguasa segala sesuatu” (QS Al-Anfal: 41).

Pasukan kebenaran yang jumlahnya sedikit, tetapi dimenangkan oleh Allah Swt. dalam melawan kekuatan bathil yang mempunyai kekuatan besar dan jumlah tentera yang sangat banyak. Oleh kerana itu Ramadhan yang akan kita lalui ini semoga mengantarkan kita pada kemenengan, kemenangan melawan hawa nafsu, kemenangan bangsa ini dalam melawan krisis, kemenangan umat Islam dalam melawan perselisihan, pergolakan antara sesama umat Islam, kemenangan bangsa ini dalam menghadapi konspirasi dunia internasional yang dimotori oleh Yahudi, yang mereka tidak senang melihat negara Islam maju. oleh kerana itu marilah kita jadikan Ramadhan ini kita jadikan momentum Islam untuk kembali kepada Allah sehingga mencapai kemenangan yang hakiki. Wallahu a’lam bishshawab.

Thursday 21 July 2011

Senyum dan Tangis Rasulullah SAW



Rasulullah SAW adalah manusia biasa, yang boleh tertawa kerana sesuatu yang membuatkan orang lain tertawa , boleh takjub kerana sesuatu yang membuatkan orang lain takjub. Bahkan beliau juga menangis kerana sesuatu yang membuatkan orang lain menangis. Bukan sahaja beliau diberi wahyu dan dibebani kerasulan. Namun beliau adalah manusia yang ideal, yang sempurna sifat-sifat dan akhlaknya. Banyak peristiwa yang membuat beliau tersenyum mahupun tertawa selama hidupnya. Namun kerana keterbatasan wadah penyajian, pada kesempatan kali ini adalah baik jika kita mengetahui hanya beberapa contoh kejadian yang disebaliknya terdapat hikmah dan uswah yang sangat berharga.

Dari ‘Aisyah r.a, dia berkata :"Orang-orang mengadu kepada Rasulullah kerana sudah sekian lama hujan tidak pernah turun. Maka beliau memerintahkan untuk memasang mimbar yang diletakkan ditanah lapang tempat solat. Maka beliau menetapkan hari agar orang-orang keluar ke sana. Lalu beliau keluar , berdiri di atas mimbar , bertakbir dan bertahmid kepada Allah , kemudian bersabda :’ Sesunguhnya kalian mengadukan kekeringan tempat tinggal kalian dan mundurnya waktu turun hujan dari permulaan waktunya. Sementara Allah telah memerintahkan agar kalian berdoa kepada-Nya dan berjanji kepada kalian untuk memenuhi permohonan kalian‘. Kemudian beliau mengangkat kedua tangan , dan terus berbuat seperti itu, hingga tampak kulit ketiak beliau yang berwarna putih. Kemudian beliau membelakangi orang-orang dan membalik atau mengalihkan kain selendangnya dan tetap mengangkat kedua tangan ke atas. Kemudian beliau menghadap ke arah orang-orang. Setelah itu beliau turun dari mimbar dan solat dua rakaat . Maka seketika itu Allah mencitakan mendung, mengeluarkan guntur dan kilat, kemudian turun hujan dengan seizin Allah, hingga tempat solat itu pun teralir dengan  air yang deras. Tatkala melihat orang-orang yang bergegas pergi, beliau pun tersenyum hingga terlihat gusi beliau.Lalu beliau bersabda ,’ Aku bersaksi bahawa Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu dan Aku adalah hamba Allah serta rasul-Nya." ( H.R Abu Daud, Al Hakim dan Ibnu Majah)

Penulis mengatakan bahawa Rasulullah SAW tersenyum kerana beliau melihat sosok para sahabat yang bergegas lari kerana takut hujan, padahal sebelumnya mereka meminta diturunkan hujan .Seharusnya mereka menyambutnya dengan gembira. Perubahan sikap yang kontradiktif dari sikap sebelumnya membuat Rasulullah tersenyum. Rasulullah SAW pun tersenyum dengan bercanda dengan keluarga dan sahabatnya. Beliau bercanda dan tidak berkata kecuali yang benar. Canda beliau terbebas dari hal-hal yang kurang baik , tidak berlebih-lebihan, dan tidak pula menyakiti hati orang lain.Cuba kita cermati contoh canda Rasululah SAW dengan Shuhaib, seorang sahabat yang ketika itu sedang sakit. Rasulullah SAW mengajak bercanda untuk menghiburkannya.

Dari Shuhaib r.a, bahawa ia memakan kurma yang warnanya ada yang abu-abu (ramad). Lalu Rasulullah SAW bersabda :"Jika engkau memakannya, maka warnamu bisa abu-abu".Shuhaib berkata : "Kalau begitu aku akan memakan belahannya yang lain yang tidak abu-abu".Maka Rasulullah SAW tersenyum mendengar perkataannya.

Rasulullah SAW sentiasa menangis kerana rasa takut kepada Allah. Rasulullah SAW menangis kerana takut dan khuatir terhadap Allah. Ini termasuk sifat orang mukmin, kerana merasa bahawa Allah selalu mengawasi segala perbuatan dan keadaan dirinya. Allah telah mensifati orang-orang yang tunduk dan orang-orang mukmin yang dirundung rasa takut dan khuatir. Firman-Nya :"Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang tunduk patuh ( kepada Allah ), ( yaitu ) orang-orang yang apabila disebut nama Allah , gementarlah hati mereka". ( Al Hajj: 34-35 )

Dari Abu Hurairah r.a , dia berkata :" Rasulullah SAW bersabda:"Tidak masuk neraka orang yang menangis kerana takut kepada Allah, hingga air susu pun kembali lagi ke kantung kelenjar. Debu fisabilillah tidak berhimpun dengan asap neraka Jahannam".( H.R Bukhari , At Tarmidzi, An Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban ).

Rasulullah SAW adalah orang yang khusyuk dalam solat. Keadaan beliau solat adalah keadaan orang yang khusyuk  dan tunduk kepada Allah. Gambaran kekhusyukan beliau tatkala solat digambarkan dalam hadis riwayat Abdullah bin Syakir, dia berkata :"Aku mendatangi Rasulullah SAW, dan di dalam tubuh beliau ada suara yang mendidih, seperti periuk yang sedang mendidih, kerana menangis". ( H.R Abu Daud, An Nasa’I, Al Hakim, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban )

Tuesday 19 July 2011

usrah~

USRAH 1
USRAH 2


USRAH 3

Monday 18 July 2011

Kita Bukan Hipokrit.

"Eleh, kau pakai tudung pun bukannya ikhlas. Hipokrit!"
"Bajet baik la konon nak nasihat aku! Munafik la weyh!"
"Eh, sejak bila jadi pak lebai ni? Dah pandai cakap halal haram ni? Munafik betul!"
   Sakit telinga mendengar. Sakit lagi dalam hati. Kerana itu, ramai yang tersungkur. Hasrat mahu berubah, terkubur hanya kerana 'suara keldai' ini. Inilah cabaran orang yang mahu berubah. Pasti dia akan terdengar cakap-cakap buruk dari manusia sebangsa dan seagama dengan mereka ini.

  Persoalannya, adakah orang yang mahu berubah itu orang hipokrit?
Tidak! Sama sekali orang yang mahu berubah bukan munafik. Sebaliknya, tindakan untuk berubah itu tindakan orang bijak dan berani. Maka, bolehlah kita
 nyatakan penghargaan  kepada anda yang sedang berusaha untuk berubah. Anda seorang wira! Anda seorang pejuang! Dan anda seorang yang cantik di mata Tuhan.
  Janganlah berhenti. Dalam banyak tempat dalam Al-Quran, Allah menyatakan bahawa manusia akan diuji. Diuji, dan terus diuji hingga diyakini, siapa yang dalam kalangan kita yang benar-benar 'bulat' hatinya untuk mencari wajah-Nya.
  Ujian ini Allah timpakan kepada kita seperti tangga. Selepas kita memanjat satu tangga, kita akan memanjat satu lagi. Kemudian, satu
lagi, dan satu lagi. Hinggalah kita mencapai puncak iaitu wajah redha-Nya. Antara ujian yang paling berat ialah penerimaaan masyarakat, ahli keluarga dan kawan-kawan kita.

  Bagi yang lemah, pasti mereka akan berhenti memanjat hanya kerana label munafik atau hipokrit yang diberikan orang. Tuduhan yang
tersangat salah! Dinyatakan dalam  satu hadis:
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: "Bacalah al-Quran dan menangislah, dan jika tidak boleh menangis buat-buatlah menangis" - Hadis riwayat At-Tabrani.

  Saya paling tertarik dengan perkataan 'buat-buatlah menangis'. Bukankah pada zahirnya, 'buat-buat' tu bererti berlakon? Adakah kita mahu
menipu Allah?
  
  Tidak. Sama sekali tidak. Sesungguhnya Allah itu Maha Tahu dan Paling Faham akan manusia. Dia tahu, bahawa untuk manusia menjadi hamba yang baik, dia tidak akan dapat terus jadi baik. Dia harus melalui proses yang panjang. Sedikit demi sedikit, perubahan akan berlaku.

  Allah tahu segalanya. Dia tahu bahawa kita ada limit atau batasan. Kita tidak akan mampu terus berubah dengan mendadak. Kita hanya akan mampu berubah, sedikit demi sedikit. Kerana itu, Allah tidak memberatkan kita dengan 'mesti menangis', sebaliknya Allah sediakan kita keringanan, jika kita tidak mampu, buat-buatlah menangis.

  Dengan erti kata lain, jika kita tidak mampu menjadi manusia yang terbaik, maka kita latihlah diri menjadi manusia yang baik! Lama-kelamaan, pasti kita akan dapat menjadi yang terbaik. Bukankah mentol yang ada pada hari ini adalah hasil daripada ratusan kegagalan Thomas Edison? Saya pasti, kalau Thomas Edison berjiwa kecil, pasti dia akan putus asa apabila dicaci.
 Untuk mencapai kesempurnaan iman, jangan takut mencuba menerima cacian.
Kesimpulan
  Jangan peduli cakap orang. Bukankah kita mahu berubah kerana Allah? Allah pasti akan suka, jika kita mahu berubah. Cuma syaitan sahaja yang tidak suka. Jadi, rasanya tidak melampau jika saya kata manusia yang menghalang orang yang hendak berbuat baik, dia tu macam syaitan. Ada bantahan?
Selepas ini, jika ada lagi orang kata 'kau munafik', maka balaslah, "So what?"

Followers