Saturday 9 July 2011

HAKIKAT BERIMAN KEPADA ALLAH S.W.T. DAN RASULULLAH S.A.W..



Hakikat  iman kepada Allah S.W.T. adalah satu hakikat besar  yang mencakupi  seluruh  kehidupan manusia. Apabila  iman  bersemi  di dalam  hati  seseorang,  maka iman  itu  akan  terus  menjelmakan kesannya  dalam  bentuk amal perbuatan, kegiatan  dan  perjuangan yang mengharapkan Allah S.W.T. atau redha Allah S.W.T.. Dia  taat kerana  Allah S.W.T.. Dia tunduk dan patuh kepada titah  perintah Allah  S.W.T.  sama ada kecil atau besar.

Tidak  bersekongkol bersama-sama hakikat Iman itu hawa nafsu  dan syahwat yang sering mengajak manusia menyeleweng daripada  ajaran Allah  S.W.T..  Bahkan iman itu akan mengajak nafsu  dan  syahwat untuk  tunduk  mengikut ajaran Muhammad S.A.W.  yang  didatangkan daripada Allah S.W.T..

Imanlah   yang  akan  mencernakan  keseluruhan  aspek   kehidupan manusia yang meliputi bisikan jiwa, cetusan hati, keringinan roh, kecenderungan     fitrah,    gerakan     jasmani,     tindakbalas pancaindera  dan  semua  perbuatan  samada  semasa   bersendirian mahupun di depan orang ramai mengikut kehendak Allah S.W.T..

Sesungguhnya   iman  kepada  Allah  S.W.T.  dan   Rasul-Nya   itu  merupakan  keyakinan  dan  penyaksian dalam  hati  dengan  segala kesungguhan  yang membuatkan hati menjadi juru bicara  Din  Islam  dan  juru  bicara yang hidup.

Iman  itu akan hidup dalam perasaan dan menjadi roh bagi  tingkah laku.  Alangkah  indahnya Iman ini, alangkah baik  dan  sucinya.

Iman yang betul akan melahirkan contoh-contoh ta'at kepada  Allah S.W.T. pada diri seseorang. Contoh-contoh itu akan memberi  kesan pula   kepada  hati  kawan-kawannya.  Contoh-contoh  itu   adalah penyaksian amalan Islam yang akan membekas ke dalam jiwa  manusia lain.  Justeru itu seseorang itu akan menjadi juru  da'wah  Islam kepada  manusia,  setelah ia memberikan keutamaan  dan  kelebihan terlebih dahulu kepada dirinya sendiri.

Iman  adalah  masdar yang melahirkan ma'ruf dan  menolak  munkar. Iman  adalah asas  yang akan mewujudkan kerajaan Allah S.W.T.  di muka  bumi yang berfunngsi di dalamnya hukum-hukum Allah  S.W.T.. Iman   mencorakkan  kehidupan  Islam  dan   menentang   kehidupan Jahiliyyah.  Iman akan meletakkan seseorang di atas  jalan  hidup yang sempurna. Jalan hidup yang mengandungi segala perintah Allah S.W.T.

Amanah yang dipikul oleh manusia


Amanah  yang  besar telah ditolak oleh langit,  bumi  dan  gunung-ganang.  Amanah itu akhirnya diterima dan diletakkan di atas bahu manusia.  Amanah itu ialah amanah hidayah, amanah untuk  mengenal Allah  S.W.T.  dan  amanah Iman kepada-Nya.  Jiwa  manusia  telah diberikan  persediaan-persediaan  untuk  membolehkannya   memikul amanah  tersebut. Untuk memikul amanah itu, manusia perlu  insaf, sedar,  berkehendak,  bersungguh-sungguh  dan  berkorban.  Itulah amanah   yang sesuai dengan fitrah asal manusia. 

Segala  makhluk  selain daripada manusia  telah  diilhamkan  oleh Allah   S.W.T.  untuk  beriman,  mendapat  pertunjuk,   mengenal, menyembah  dan  mentaati-Nya secara fitrah dan paksa tanpa  perlu berikhtiar  dan  berusaha. Hanya manusia diberikan  kepada  aqal, ma'rifah, kehendak, kesungguhan dan pengorbanan untuk  berikhtiar dan berusaha untuk sampai kepada Allah S.W.T. dengan izin-Nya.

Firman Allah SWT :



" Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami.  Dan sesungguhnya Allah benar-benar berserta orang-orang yang berbuat baik.  “
(Surah  al Ankabuut : 69  )

Itulah amanah yang diterima manusia dan menjadi kewajipan baginya melaksana amanah itu dengan bersungguh-sungguh.

 

Mandat Allah SWT


Allah  S.W.T. telah berjanji untuk memberikan kepada  orang-orang yang  beriman dan beramal saleh mandat membangunkan sistem  Islam di  bumi.  Allah S.W.T. telah berjanji kepada mereka  bahawa  Dia akan  mengangkat mereka sebagai Khalifah atau penguasa  di  bumi. Seperti  halnya  diangkatkan  orang-orang  mu'min  soleh  sebalum mereka,   agar  mereka  membangun  syari'at  Allah  S.W.T..   Dan melaksanakan  keadilan  mengikut  kehendak  Allah  S.W.T.   serta membawa  umat  manusia  ke jalan  yang  benar.
Kekhalifahan   bukan  semata-mata  kerajaan,  pemerintahan   atau kekuasaan.  Kekhalifahan harus dipergunakan untuk  kebaikan  dan membina  kemakmuran  serta menegakkan jalan  Allah  S.W.T.  agar manusia dapat berjalan di atasnya.

Khilafah bukanlah bertujuan untuk membuat keruntuhan,  kejahatan, kezaliman  dan  perkosaan. Khilafah bertujuan  untuk  meninggikan keperibadian  manusia, bukan merosakkan keperibadian  manusia  ke lembah kebinatangan.
 Al-Quran  membimbing  manusia  ke  jalan  tersebut.  Iman  adalah sebagai dasarnya. Firman Allah S.W.T.:

Sesungguhnya  (apa yang disebutkan) dalam (surat) ini , benar-benar menjadi peringatan bagi kaum yang menyembah (Allah).  Dan tiadalah Kami mengutuskan kamu, melainkan  untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.  “
(Surah  Al-Anbiya': 106-107)  ^

0 comments:

Post a Comment

Followers