Sunday 3 July 2011

MUJAHADAH



Alhamdulillah marilah sama-sama kita bersyukur kehadrat  Allah SWT  kerana  pada  hari yang mulia ini  dapat  sekali  lagi  kita berkumpul untuk sama-sama kita menjalani satu proses tarbiah bagi mendidik  dan  mengasuh hati dan jiwa kita yang  mana  insyaAllah akan  meningkatkan  lagi kesedaran dan  keyakinan  kita  terhadap Islam  dan  juga terhadap suasana yang  dapat  menguatkan  ikatan ukhuwah  dan  persaudaraan Islam dikalangan kita  yang  merupakan asas  kepada  pembentukan  jamaah Islamiah  dalam  ertikata  yang sebenarnya.  InsyaAllah  pada  pertemuan ini  ana  ingin  membawa sahabat-sahabat  pada satu perkara yang pernah diperkatakan  oleh seorang ulama' yang muktabar yakni Abdullah Naseh Ulwan iaitu apa yang disebut sebagai Al-Mujahadah ataupun jihad.

Islam  telah  menunjukkan kepada kita  beberapa  jalan  yang boleh  menyampaikan  kita kepada taqwa dan  salah  satu  diantara jalan-jalan tersebut ialah  dengan kita bermujahadah.  Berhubung dengan mujahadah  ini Ustadz Syed Hawwa menjelaskan," Kita bermujahadah ini adalah untuk mendapatkan  petunjuk  daripada Allah SWT ".  Oleh  itu  mujahadah ialah jalan untuk kita mendapat petunjuk daripada Allah SWT  agar petunjuk  itu  masuk  ke dalam hati  kita.  Jadi  maknanya  untuk mendapat  dan  memperoleh hidayah daripada Allah SWT  maka  perlu kepada  mujahadah.  Mujahadah  juga merupakan  jalan  untuk  kita menambahkan petunjuk. Setelah kita mendapat petunjuk   kita hendak tingkatkan dan  tambah lagi hidayah daripada Allah SWT iaitu dengan cara kita  mempertingkat mujahadah.

Untuk melaksanakan mujahadah ini kita perlu mengikuti  jalan yang  betul.  Sebab banyak orang yang berusaha  dan  bermujahadah tetapi  tidak mendapat bimbingan dan hidayah daripada Allah  SWT. Banyak   kegiatan-kegiatan  yang  dilakukan  dan   bermati-matian bermujahadah  tetapi tidak mendapat petunjuk daripada Allah  SWT.   Kerana  apa?    kerana jalannya  tidak   betul yakni tidak  mengikut jalan yang telah dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Hidayah Allah SWT merupakan mukaddimah kepada taqwa. Apabila seseorang itu mendapat hidayah daripada Allah SWT hasil  daripada bermujahadah maka hidayah ataupun petunjuk yang diperolehinya itu adalah  merupakan  mukaddimah kepada taqwa, mukaddimah  untuk  dia menjadi  seorang yang muttaqin  yakni yang bertaqwa kepada  Allah SWT.  Ini  bermakna  taqwa itu  diperolehi  hasil  dari  anugerah hidayah  yang  diberikan oleh Allah SWT kepada  orang-orang  yang bermujahadah. Taqwa  bukan  boleh kita buat-buat dalam jiwa kita tetapi dia mestilah dengan hidayah  daripada Allah  SWT. Ini bererti seseorang itu tidak boleh  menjadi  orang yang  bertaqwa dengan akal fikirannya sendiri , dia  nak  berubah menjadi  orang  yang  baik dengan menggunakan  akal  fikiran  dia sendiri, tidak boleh, sebaliknya dia mestilah mendapat  hidayah/petunjuk daripada Allah SWT dengan  jalan  bermujahadah sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah SWT dan yang diajarkan oleh  Islam kepada kita melalui Rasulullah SAW. Firman Allah  SWT yang bermaksud:

"Dan orang-orang yang berjihaduntuk mencari keredhaan kami,benar-benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan    kami.     Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang berbuat baik ".
( Surah al Ankabut : 69 )

Ini    merupakan   janji-janji   Allah s.w.t  kepada    mereka    yang bermujahadah,  Allah s.w.t  akan   berikan   kepada   mereka    hidayah.   Sesungguhnya   Allah s.w.t   tidak  pernah  memungkiri   janjinya.   Sesungguhnya  Allah benar-benar akan berserta dengan  orang-orang yang berbuat baik.

Setelah  mendapat hidayah daripada Allah SWT  maka bermulalah  kita menjadi seorang yang bertaqwa kepada Allah  SWT. Barulah  kita menuju ke arah kehidupan orang-orang  yang  disebut sebagai  Al-Muttaqin yakni yang bertaqwa kepada Allah  SWT.Jika sekiranya kita tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT maka  ke arah menjadi orang-orang yang bertaqwa ini tidak akan wujud. Jadi kalau  kita  berusaha kuat mana sekalipun  kalau  tidak  mendapat hidayah dari Allah SWT maka tidak akan ada mukaddimah, tidak akan ada  permulaan  ataupun titik tolak untuk  kita  menjadi  seorang manusia yang bertaqwa kepada Allah SWT.

Oleh itu apabila kita bermujahadah ia akan menyampaikan kita  kepada  memperolehi hidayah daripada  Allah  SWT  sementara hidayah yang kita perolehi itu pula akan menyampaikan kita kepada taqwa.  Jadi itu hubungan di antara ketiga-tiga perkara,  hubungan di antara  mujahadah,  hidayah,  dan  taqwa.  Jadi  mujahadah  akan membawa  kita kepada hidayah sementara hidayah pula akan  membawa kita kepada taqwa. Jadi kalau kita tidak ikut jalan yang  pertama ini  yakni  tidak bermujahadah maka tidak akan  ada  hidayah  dan tidak ada taqwa dalam jiwa kita.

Satu perkara penting di dalam proses untuk kita bermujahadah dan  mendapatkan hidayah daripada Allah SWT ialah  uslub  ataupun jalan-jalan  yang  kita  lalui untuk  bermujahadah  itu  mestilah mendapat  taufik ataupun persetujuan daripada Allah SWT.  Maknanya di  sini,  tidak  semestinya orang  yang  bermujahadah  itu  akan mendapat  hidayah  daripada  Allah  SWT  kerana  ada  orang  yang bermujahadah tetapi dia tidak mendapat hidayah. Ini adalah kerana hikmah dan kebijaksanaan Allah SWT.  Jadi kemungkinan ada  berlaku kesilapan   di   dalam  mujahadah  seseorang  itu   ataupun   dia bermujahadah  tidak  mengikut cara Rasulullah  SAW  bermujahadah, bagaimana   Rasulullah  SAW  menunjukkan  cara   memperoses   dan mengislah(memperbaiki)  diri. Jadi dia bermujahdah  tidak  dengan taufik  Allah  SWT,  tidak  dengan  persetujuan  Allah  SWT.  Dia bermujahadah  tanpa  pertolongan dan hidayah daripada  Allah  SWT maka sebab itulah tidak melahirkan natijah yang sebenarnya.


Justeru  itu di dalam langkah-langkah kita  bermujahadah  ke arah untuk mendapat hidayah dan taqwa daripada Allah SWT ini maka    kita hendaklah memastikan terlebih dahulu bahawa jalan-jalan yang kita  lalui  di dalam bermujahadah ini mestilah  terlebih  dahulu mendapat  taufik dan persetujuan daripada Allah SWT. Tidak  boleh kita  mereka-reka  cara  bermujahadah  ini  dengan  akal  fikiran ataupun dengan cara kita sendiri.

Titik-tolak  yang betul untuk kita mendekatkan  diri  kepada Allah SWT ialah dengan bermujahadah. Kita berjihad dan  berusaha. Sebab  itulah  ulama'-ulama' yang  muktabar  menggariskan  bahawa jihad  itu perlulah dijadikan sebagai matlamat hidup kita.  Dalam hal matlamat hidup ini sekiranya kita baca  Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan supaya  mereka semua beribadah(mengabdikan diri) kepadaKu".
(Surah az Dzariyat : 56)


Walaupun  istilah dia berbeza, matlamat  kita  ialah  untuk beribadah  kepada  Allah, matlamat kita ialah  untuk  mengabdikan diri  kepada  Allah,  matlamat kita  ialah  jihad  untuk  mencari keredhaan Allah tetapi disegi konsep/tasawwur ataupun  perincian nya,  dia akan menjurus kepada hakikat yang sama.  Matlamat hidup  kita sebagaimana yang telah digaris dan diperincikan  oleh ulama'-ulama'yang muktabar ialah kita perlu menjadikan jihad  itu sebagai  tujuan  kita diwujudkan. Kita  diwujudkan  adalah  untuk berjihad  menegakkan kalimah syahadah, menegakkan deen Allah  SWT di atas muka bumi ini. Untuk itu sebelum kita berjihad  hendaklah kita  fahami  jihad  ini  dengan  betul  kerana  jihad  ini   ada bermacam-macam  jenis  dan ada tertibnya, yang  mana  perlu  kita utamakan  terlebih dahulu dan yang mana selepas itu.  Jadi  jihad ini  ada  jihad melawan hawa nafsu,  melawan  orang-orang  kafir, melawan orang-orang munafik, orang-orang zalim dan sebagainya.

Jihad melawan hawanafsu merupakan jihad yang berterusan  dan perlu   diutamakan  kerana  hal  ini  telahpun  dinyatakan   oleh Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya yang bermaksud  :

"   Seutama-utama jihad ialah orang yang berjihad terhadap  hawanafsunya dalam mentaati Allah azzawajalla  ".
 

Jihad melawan hawanafsu ini pula terbahagi kepada 4 bahagian:-

1.   Berjihad  untuk mendapat  hidayah(petunjuk)  daripada  Allah SWT.- kita berusaha, berikhtiar untuk mendapat petunjuk  daripada Allah SWT.(petunjuk Allah ialah Islam itu sendiri).

2.  Melaksanakan Islam, petunjuk Allah SWT itu di dalam kehidupan kita setiap hari dalam pelbagai aspek kehidupan kita.
                              
3.   Menyampaikan  Islam yang telah kita  laksanakan  itu  kepada orang lain.

4.   Bersabar di dalam menyampaikan Islam kepada orang lain.


Jadi  ada 4 peringkat jihad didalam melawan hawa  nafsu  ini yang  mana apabila kita memperlengkapkan keempat-empat  peringkat jihad  ini  maka  barulah  sempurna  proses  jihad  kita  melawan hawanafsu ini. Ini bermakna di dalam hidup kita ini setiap   masa berkehendakkan kepada jihad dan lebih-lebih lagilah apabila  kita hendak melahirkan  dan  melaksanakan  Islam.  Jadi  di  mana   kita memperkatakan  Islam  maka  di situlah   kena  ada  jihad  tidak kiralah   sama  ada  diperingkat  individu  ataupun   diperingkat jamaah.  Kita   seorang-seorang   memerlukan  jihad   apabila   nak melaksanakan  Islam dan kita bersama-sama dengan  sahabat-sahabat ataupun jamaah juga memerlukan jihad untuk melaksanakan Islam.

 Mujahadah  itu sebenarnya mempunyai makna yang  cukup  luas.  Kita  datang  ke  sini  merupakan  satu  bentuk  mujahadah,  kita mendekatkan diri kita kepada suasana yang soleh, mendekatkan diri kepada  sumber-sumber  tarbiah yang betul seperti  Al-Qur'an  Al-Karim  dan  Sunnah Rasulullah SAW serta buku-buku  yang  dikarang oleh  ulama-'ulama'  yang  muktabar  semua  itu  termasuk   dalam mujahadah.  Kita hadir dalam halaqat, dalam tamrin  dan  program-program yang kita rancang, itu juga dikira mujahadah. Kita  pergi menziarahi  sahabat-sahabat  kita, kita pergi  menziarahi  sanak-saudara  kita  dalam  rangka  nak  menyebarkan  kefahaman   Islam misalnya  pun  dikira  sebagai  mujahadah,mujahadah  untuk   kita mendapat hidayah/petunjuk daripada Allah SWT.

Kita  mendampingi  orang-orang  yang  tertentu  yang   boleh membawa  kita  ke  jalan yang haq maka itu  juga  dikira  sebagai mujahadah. Kita mengelakkan diri kita daripada  gangguan-gangguan maksiat, menjauhkan diri kita, anak-isteri, keluarga dan sahabat-sahabat  kita  daripada  suasana-suasana  yang  tidak  Islam  dan dorongan-dorongan  hawanafsu  yang  menyesatkan  semua  itu  juga termasuk  dalam usaha  kita bermujahadah. Jadi  alangkah  luasnya kerja-kerja mujahadah yang perlu kita lakukan dalam rangka  untuk kita  mendapat hidayah daripada Allah SWT. Jadi semua  usaha  dan kerja-kerja  yang  kita  lakukan sekiranya  dibuat  dengan  penuh keikhlasan  kerana  Allah SWT maka itulah  yang  merupakan  titik tolak  yang  betul ke arah untuk kita mendapat  hidayah  daripada Allah  SWT. Jadi sekiranya apa yang kita buat, niat kita  lillahi taala  maka  itulah  jalan yang  akan  menyampaikan  kita  kepada hidayah Allah dan seterusnya membawa kita kepada makam(kedudukan) al-muttaqin ataupun orang-orang yang bertaqwa.


Untuk menuju ke arah muttaqin, untuk sampai kepada kedudukan orang-orang  yang  bertaqwa  ini,   kita  dapati  banyak  berlaku kesalahan-kesalahan.  Kita dapati di sana orang-orang yang  salah didalam memahami konsep mujahadah ini, mereka melakukan mujahadah dengan  konsep mereka yang tersendiri. Maka dengan  sebab  itulah kita dapati ramai yang bermujahadah tetapi tidak sampai kepada  natijah  yang betul yakni tidak mendapat hidayah  daripada  Allah SWT dan tidak dapat menjadi orang-orang yang benar-benar bertaqwa kepada  Allah  SWT.  Mereka bermujahadah  tetapi  tidak  mendapat hidayah  dan  taqwa. Jadi inilah yang betul-betul kita  hendak  jaga supaya  jalan  yang kita lalui itu  betul-betul  mendapat  taufik ataupun persetujuan daripada Allah SWT. Dalam hendak memastikan kita bermujahadah ini dengan taufik/jalan yang dipersetujui oleh Allah SWT  ini  maka sebab itulah kita tidak memilih  jalan  yang  lain melainkan  jalan  ataupun  uslub  yang  telah  ditunjukkan   oleh Rasulullah SAW dalam rangka kita bermujahadah ini dan juga  dalam rangka  kita nak kembali mengambil Islam. Jadi kita  bermujahadah ikut uslub Rasulullah SAW dan kita mengambil Islam ini juga  ikut uslub  ataupun  jalan  sebagaimana yang  telah  ditunjukkan  oleh Rasulullah SAW.

Justeru itu tidaklah boleh kita membuat kesimpulan  manakala kita  hendak  bermujahadah kita buat menurut  cara  kita  sendiri ataupun tektik tersendiri tanpa melihat dan mengikuti uslub  yang sebenarnya  yakni uslub Rasulullah SAW. Kita tidak boleh  buat ataupun fikir dengan cara kita sendiri di dalam  bermujahadah ini. Dalam  hal mengikuti jalan yang betul untuk bermujahadah ini  telah berlaku kekeliruan di dalam kefahaman dan  jalan-jalan yang  hendak  diambil  akibat daripada  kejahilan  seseorang  itu tentang   konsep  mujahadah  yang  sebenarnya.   Kejahilan seseorang  itu terhadap jalan mujahadah yang telah  dilalui  oleh baginda   Rasulullah  SAW  itulah  yang  menyebabkan   berlakunya kesalahan-kesalahan,  ketidak-fahaman dan kekeliruan-keliruan  di dalam melaksanakan mujahadah ini.

Di  sini perlulah  memahami  betul-betul  qadiah ataupun  permasalahan  mujahadah ini dan jalan-jalan  yang  perlu kita  ikuti  di  dalam  rangka  untuk  kita  mendapatkan  hidayah daripada Allah SWT dan menjadi manusia yang benar-benar  bertaqwa kepada  Allah  SWT.  Jadi sebagaimana  yang  kita  jelaskan  tadi sekirannya  jalan  yang kita ikuti dalam bermujahadah  ini  tidak betul, walaupun kita bersungguh-sungguh melakukan mujahadah  ini, kita mencurahkan masa dan tenaga  , wang ringgit dan harta  benda yang  banyak  tetapi kejalan yang tidak betul maka  semuanya  itu akan  menjadi sia-sia sahaja dan tidak akan mendapat  taufik  dan hidayah  daripada  Allah  SWT.  Kita  tidak  akan  sampai  kepada petunjuk dan taqwa yang sebenarnya.

Di   dalam   hal   bermujahadah  ini   Ustadz   Syed   Hawwa menjelaskan,"   Kita  mestilah bermula daripada noktah  iman  kepada Allah SWT dan bermula dengan noktah mentauhidkan/mengEsakan Allah SWT   ".  Mujahadah yang betul itu mestilah bermula  dengan  beriman  kepada  Allah  dan beriman kepada prinsip-prinsip  keimanan  yang lain serta bermula dengan mentauhidkan dan mengEsakan Allah  SWT. Mujahadah itu mestilah bertitik-tolak dengan beriman  kepada Allah  dan  beriman  kepada prinsip-prinsip  keimanan  yang  lain seperti  beriman kepada Muhammadur Rasulullah dan yang  lain-lain lagi. Hakikat ini mestilah diterima secara disedari .Ianya  tidak boleh dialpakan ataupun dilalaikan sebab mungkin sesaorang muslim yang  lahir di dalam suasana Islam ataupun yang  lahir  ditengah-tengah  masyarakat  Islam  maka dia  tidak  akan  merasai  bahawa perkara  ini disuruh dan dituntut yakni supaya  dia  bermujahadah bermula  dengan beriman kepada Allah SWT. Bila kita sudah  ada biah solehah(suasana yang Islamik) maka mungkin boleh berlaku  di mana seseorang muslim yang lahir di dalam biah yang seperti  ini, dia   tidak  merasa  perkara  ini  dituntut  yakni   supaya   dia bermujahadah  bermula  dengan  keimanan kepada  Allah  SWT.  Jadi inilah  satu  kesilapan yang besar yang telah  berlaku  di  dalam sejarah Islam. Kita dapati apabila wujudnya Daulah Islamiah dalam waktu  yang  agak panjang maka telah lahirlah  umat  Islam  yakni generasi-generasi yang baru di dalam daulah tadi tetapi  manakala tidak   diingatkan   kepada  mereka   tentang   perlunya   mereka bermujahadah  bermula  dengan  beriman  kepada  Allah  SWT  dalam ertikata  yang sebenarnya maka berlakulah berbagai-bagai  masalah di dalam perkembangan dakwah Islam ini.

Inilah  kesalahan  yang telah berlaku  di  dalam  masyarakat Islam  beberapa masa yang lalu. Bila sudah banyak umat  Islam, semua Islam, individu Islam, keluarga Islam, masyarakat Islam dan daulah  Islam  maka  terlupa mereka  kepada  satu  hakikat  untuk mengajak  generasi yang baru ini kepada merasai apa  yang  pernah dirasai  oleh generasi yang awal yakni bermujahadah dengan  titik tolak keimanan kepada Allah SWT dan mentauhidkan serta mengEsakan Allah  SWT. Dalam realiti kita, kalau kita tidak  ambil  berat ataupun kita tak memperdulikan perkara ini maka itulah yang  akan membawa kepincangan kepada perkembangan Jamaah Islamiah yang kita dukung ini.

Biah ataupun suasana yang ada pada hari ini yang diwujud dan dirancang kewujudannya oleh sistem yang ada pada hari ini  lambat laun akan mempengaruhi umat Islam dan tidak dinafikan kemungkinan kita  juga  boleh  lari meninggalkan  suasana  Islam  ini  kepada suasana  yang lain meskipun di sana masih  terdapat  keperibadian Islam  yang masih boleh diperlihatkan. Namun sekiranya  umat  ini larut  di dalam kemewahan syaksiah Islamiah  sehinggakan  terlupa kepada   hakikat  untuk  bermujahadah  ataupun  perlunya   setiap individu   itu  mengislahkan  dan  berusaha  untuk  dia   kembali bermujahadah  bermula  dengan  keimanan  kepada  Allah  SWT  maka kemungkinan  untuk dia larut di dalam suasana yang tidak  Islamik itu boleh berlaku.

Al-Qaid   pernah berkata, "  Perkara ini  kalau  kita  tak perkenalkan atau kita tidak tekankan betul-betul di dalam  proses tarbiah  kita  kepada generasi yang baru ini maka  itu  merupakan satu  kesalahan yang besar di dalam kerja-kerja amal Islami  yang kita  lakukan   ".  Kalau kita tidak kata  MUJAHADAH  MESTI  BERMULA DENGAN  KEIMANAN KEPADA ALLAH SWT ,walaupun kita lahirkan  mereka ditengah-tengah  masyarakat  Islam, tetapi kita  akan  kehilangan mereka, mereka akan diambil oleh sistem yang ada pada hari ini.

Walaupun kita berusaha ke  arah   perkembangan jamaah kita, kita menyusun banyak perancangan yang baru di dalam hendak memperkuatkan lagi struktur perkembangan Jamaah Islam  tetapi bagi   sahabat-sahabat  yang  baru  janganlah  kita  lupa   untuk memperjelaskan  kepada  mereka  bahawa  mujahadah  ini   mestilah bermula  dengan  kita  beriman kepada Allah  SWT.  Mesti  bermula dengan  kita  mentauhidkan Allah SWT dan  mengEsakan  Allah  SWT. Maknanya  di  sini,  setiap  masa,  setiap  peringkat  ,   setiap perkembangan dan setiap suasana , bagi setiap individu dan jamaah ataupun  sesiapa  sahaja  yang  berhajatkan  kepada  Islam   maka mujahadahnya  mestilah bermula dengan keimanan kepada Allah  SWT. Tidak kira waktu, tidak kira tempat ataupun suasana, apabila  dia bermujahadah  maka  dia  mestilah  bermula  dengan  menyelesaikan permasalahan awal iaitu beriman dan mentauhidkan Allah SWT.  Itulah  jalan  mujahadah  yang  sebenarnya. 
Kita  dapati   apabila berlaku  kesilapan  di dalam memahami konsep mujahadah  ini  maka akan berlakulah kerja yang sia-sia yang mana kita nampak  semacam tidak mendapat hidayah daripada Allah SWT.

Oleh   itu   dalam  rangka  bermujahadah   ini   kita   juga mengharapkan   agar   kita  dapat  mencerminkan   sifat   ataupun keperibadian Islam yang sebenar. Kita ingin menunjukkan  Syaksiah Islam yang sempurna. Maka untuk tujuan itulah kita kena  pastikan bahawa  mujahadah  yang kita  lakukan  mestilah  bermula/bertitik tolak daripada keimanan kepada Allah SWT.

Kita  lihat di dalam sirah yakni dizaman Rasulullah SAW  dan para  sahabat  telah berlaku satu perubahan  dan  peralihan  yang sungguh besar di dalam masyarakat Islam ketika itu di mana  telah lahir  betul-betul  di  dalam masyakat  dan  juga  generasi  para sahabat  ketika itu mereka-mereka yang benar-benar  bertaqwa  dan beriman  kepada  Allah  SWT. Proses  mujahadah  yang  mereka lakukan  benar-benar  telah menampakkan perubahan  dan  peralihan yang  menyeluruh yakni daripada kufur kepada Iman  dan   daripada jahiliah kepada Islam.

Setelah  terlaksana  proses mujahadah  yang  bermula  dengan beriman  dan mentauhidkan Allah SWT serta  memperbetulkan  aqidah kita  maka selepas itu barulah akan sampai pula  kepada  marhalah ataupun  peringkat  mujahadah yang kedua  iaitu  mujahadah  untuk melaksanakan   tugas-tugas  yang  diwajibkan,   mujahadah   untuk melaksanakan  kewajipan  yang  difardukan oleh  Islam   dan  juga mujahadah  untuk meninggalkan perkara-perkara yang  ditegah  oleh Islam.  Manakala telah sempurna mujahadah yang pertama  tadi yakni  mujahadah  untuk beriman dan mentauhidkan Allah  SWT  maka barulah   dia   sampai   kepada  peringkat   yang   kedua   yakni menyempurnakan Islam yang minima mengerjakan semua yang wajib dan meninggalkan  semua yang dilarang oleh Allah SWT) di dalam  semua aspek  kehidupan kita setiap hari . Diperingkat ini  barulah seseorang  itu  dapat  melakukan  ibadahnya  dengan  betul,   dia mendirikan  solat  lima waktu dengan betul, berpuasa  pada  bulan ramadan  dengan betul, memberi zakat, naik haji dan  melaksanakan amal  Islami (kerja-kerja Islam) yang betul dalam  ertikata  yang sebenarnya.
      
Jadi  kita sebagai anggota-anggota di dalam jamaah  Islamiah yang  mengikuti tarbiah ini mestilah terlebih dahulu  mengikatkan hati  kita dengan keimanan kepada Allah SWT. Sekiranya  hati  ini tidak  diikat  dengan keimanan kepada Allah SWT  terlebih  dahulu maka mujahadah-mujahadah yang lain itu dia akan jadi satu tradisi  sahaja.  Solat jadi tradisi, puasa tradisi ataupun dalam  realiti kita  yang  berulang-alik  menghadiri  program-program   halaqat, tamrin  dan sebagainya tetapi tidak jelas betul-betul  pada  kita tentang hakikat mujahadah yang pertama ini maka penglibatan  kita itu juga akan menjadi tradisi sahaja. Tidak ada keberkesanan yang sebenarnya.  Maka sebab itulah di dalam proses tarbiah  ini  kita nak bawa hati dan jiwa kita ini merasai betul-betul akan  hakikat keimanan  dan  hakikat  mentauhidkan Allah  SWT.  Kita  hendak ikatkan  hati  kita  ini dengan keimanan  kepada  Allah  SWT  dan bukannya  hendak  ikatkan  dia kepada  yang rutin.  Kita  tak  mahu berlaku  yang macam ini, misalnya dalam halaqat dia hadir,  dalam tamrin  dia hadir dan dalam aktiviti-aktiviti yang lain dia  juga hadir  tetapi  tidak diikat betul-betul  dengan  keimanan  kepada Allah SWT. Jadi kita nak dia hadir itu adalah dalam rangka  untuk merasai hubungan dia dengan Allah SWT, hubungan hati dan ruh  dia dengan pencipta dia yakni Allah SWT.

Apabila telah sampai keperingkat mujahadah yang  kedua tadi,  kita melaksanakan yang fardu dan meninggalkan  yang  haram dengan  betul maka insyaAllah penigkatan diri kita  akan  menjadi suatu  yang  cukup soleh. Akan bertambah lagi hidayah  Allah  SWT  kepada kita yang seterusnya akan meningkatkan dan  menyempurnakan lagi  ketaqwaan  kita  kepada Allah  SWT.  Itulah  diantara beberapa  panduan mengenai jalan-jalan mujahadah yang perlu  kita lalui  dan  kita nak ajak mereka-mereka  yang  lain,  anak-isteri kita, keluarga kita, saudara-mara dan masyarakat semua melaluinya dalam  rangka untuk menyempurnakan perhambaan kita  kepada  Allah SWT  dan  dalam  rangka  untuk kita  menuju  kepada  taqwa  dalam ertikata  yang  sebenarnya.  Kuatnya  kita  (umat  Islam)  ini adalah  kerana  kuatnya taqwa yang ada pada  setiap  individu  di dalam  Jamaah  Islamiah ini.  Kekuatan  taqwa  ini  hendaklah sentiasa  kita jaga dengan proses mujahadah ini, proses  di  mana kita berusaha dan berikhtiar untuk mendapatkan hidayah Allah  SWT pada setiap masa, setiap suasana dan setiap ketika.

0 comments:

Post a Comment

Followers