Friday 3 August 2012

Rohingnya Berteriak Memanggil Kita



            Pembantaian kejam terhadap umat minoriti muslim di Rohingnya bukan sehari dua seperti yang diberitakan dan dihangatkan kini, namun sejarah hitam yang telah menimpa saudara seagama kita di sana adalah hasil daripada palitan sejarah yang bersambung-sambung dan berepisod-episod. Ia seolah-seolah kekejaman bersiri daripada kaum Buddha selepas mengambil alih penguasaan orang Islam terhadap wilayah Arakan, Myanmar (Buddha) dengan penuh ketidakmanusiaan.
            Peristiwa bermula sejak 1430 sehingga 1748 M setelah hampir tiga abad Arakan diperintah oleh orang Islam kemudian dirampas secara kejam oleh kaum Buddha. Mereka (kaum Buddha) membunuh kaum muslimin dan menumpahkan darah khususnya para pendakwah dan ulama selain memusnahkan sekolah-sekolah dan masjid-masjid serta binaan-binaan Islam yang lain.
            Sejarah hitam terus mewarnai kaum Islam Myanmar sehingga pada tahun 1942, orang Islam telah dibunuh beramai-ramai oleh puak Buddha sehingga ribuan umat Islam mati dan ratusan ribu yang lain diusir.
            Pada tahun 1990, satu pilihan raya telah diadakan dan parti pembangkang, National Democratic Party telah menang majoriti. Bagaimanapun, pihak tentera tidak mengiktiraf peralihan kuasa sehinggalah satu perlembagaan baru dirangka dan mesyuarat terus-menerus diadakan sejak tahun 1993 untuk mendraf perlembagaan.
            Di sepanjang masa rampasan kuasa ini, kaum Muslimin sentiasa berada dalam keadaan ditindas oleh puak fanatik Buddha di bawah pemerintahan tentera, yang telah memaksa lebih dari 3000 kaum Muslimin berhijrah ke Bangladesh. Lebih dari 500,000 pula telah diusir keluar dari Burma pada tahun 1978 dan mengikut statistik agensi pembantu pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), lebih dari 40,000 termasuk orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak mati kerana keadaan sukar yang mereka alami sepanjang pelarian.
            Penindasan terhadap kaum muslimin berterusan sehingga pada 1988, 150 ribu kaum muslimin telah berhijrah ke luar negeri kerana tidak tahan menghadapi penindasan yang kejam manakala setengah juta dari kaum muslimin di Rohingnya terus menjadi mangsa pengusiran oleh kerajaan Burma yang dipelopori oleh kaum Buddha.
            Sehingga kini, 2012, Rohingnya terus diasak dan ditindas dengan zalim dan kejam tetapi pihak-pihak yang bersuara lantang ingin memelihara keamanan umat Islam terus lena dipagut kesenangan. PBB setakat ini masih tidak bersuara dan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai penindasan umat minoriti Islam di Rohingnya. OIC pula khabarnya sudah berhubung dengan Asean tetapi Asean pula masih membisu, dan negara-negara majoriti umat Islam di seperti Malaysia dan Indonesia juga masih membisu.
            Aung San SuuKyi yang dahulunya pernah menjadi pemimpin pembangkang di dalam kancah politik Burma, dan menerima Hadiah Nobel Keamanan serta berkunjung ke beberapa buah negara kerana lantang bersuara menentang kekejaman dan penindasan di seluruh dunia, kini kemunculannya masih dinanti dan ditagih oleh masyarakat Islam yang paling teraniaya di dunia, iaitu muslim Rohingnya.
            Masyarakat masih lena dipagut kesenangan dan kemewahan, menempuhi Ramadhan dengan penuh enak dan bersuka-ria sedangkan saudara seakidah kita di sana berhempas pula mempertahankan identiti muslim dan akidah yang satu. Rakyat pula dibutatulikan daripada mendapat sebarang khabar berita daripada saudara seagama kita di sana kerana media-media tempatan seolah-olah tidak melihat apa yang berlaku di negara jiran kita ini.
            Seramai 25 000 pelarian Rohingnya kini menagih simpati di Malaysia, manakala 500 000 pelarian di Bangladesh, dan 100 000 di perbatasan Myanmar-Thailand. Penindasan mutakhir ini sebenarnya bermula daripada tragedi 3 Jun 2012 apabila sekumpulan penganut Buddha menyerang sebuah bas yang membawa orang-orang Islam dan membunuh sembilan orang daripada mereka. Dengan meletusnya tragedi ini, hal-hal lain seperti pembunuhan dan pembakaran rumah serta pengusiran terus terjadi di antara penganut Buddha dan orang Islam, sehingga meliputi beberapa kawasan penempatan kaum Muslimin, mengakibatkan puluhan ribu umat Islam mula lari daripada tempat kediaman masing-masing. Kerajaan Bangladesh pula tidak mahu menolong pelarian Muslim yang lari memasuki negaranya, malah menghantar semula mereka pulang dan menutup semua pintu sempadan untuk mereka.
            Dalam musim yang sama tahun lepas, kaum Muslimin juga terdedah kepada serangan yang sama dan dipaksa meninggalkan Myanmar. Sejak berdekad lamanya, saban tahun kaum Muslimin menghadapi tragedi pembunuhan, penganiayaan, pengusiran dan juga pencerobohan rumah-rumah mereka di tangan penjahat Buddha dengan sokongan dari rejim Myanmar. Barat yang diketuai oleh Amerika memuji rejim kerana membebaskan pemimpin pembangkang SuuKyi dan memuji proses pendemokrasian Myanmar, namun tidak memerhatikan sedikit pun penderitaan yang berlaku ke atas kaum Muslimin.
            Masyarakat harus memasang telinga dan mencelik luas mata memerhati keadaan yang perit sedang ditempuh oleh umat Islam di sana. Justeru, beberapa program kesedaran dan penyampaian maklumat kepada seluruh masyarakat Malaysia harus segera dijalankan seperti program Solat Hajat Perdana dan juga kempen selamatkan Rohingnya. Berita-berita juga perlu sampai kepada telinga rakyat dengan alternatif lain bagi mencetuskan suasana cakna dan prihatin terhadap sesama umat Islam sekali gus menjadi lambang kesatuan umat Islam dalam memelihara antara satu sama lain.
            Ya, Rohingnya berteriak memanggil kita.
            Dan kita samada buat-buat tidak dengar atau memang tidak mahu mendengar rintihan mereka. 

Sunday 24 June 2012

Era Khalifah Sudah Bermula!



           

            Sejujurnya perasaan takut menjelira ketika hasrat saya menanti keputusan pilihan raya presiden Mesir diumumkan, dan saya hajatkan ingin menulis sesuatu buah fikiran mengenainya. Sebuah artikel yang ringan dan santai, sesuai untuk sahabat sebaya saya membaca dan memahaminya. Justeru, terlalu banyak rujukan yang saya perlu terjah hingga saya merasakan, menerjah maklumat lebih susah dari menulis sendiri. Ia kerana tulisan-tulisan mengenainya teramatlah berat.
            Baca seperenggan sahaja sudah dirasakan terlalu banyak. Fakta yang bertindan-tindan dan terhimpun dalam suatu ruang yang kecil. Pasti golongan anak muda mengecualikan diri dari membacanya.

Rintangan Morsi
            Presiden parti FJP iaitu Dr. Muhammad Morsi bukan hanya bertanding dengan kelompok pro-mubarak, seperti PAS dan UMNO, tetapi perlu kita faham, Dr. Muhammad Morsi sebenarnya ditentang juga oleh puak Salafi. Mereka bersepakat untuk tidak menyokong Dr. Muhammad Morsi walaupun beliau telah menggunakan slogan lama Ikhwanul Muslimin yang pernah disokong semua suatu ketika dahulu iaitu ‘al-Islam Huwal Hal’ (Islam adalah jalan penyelesaian). Slogan ini seolah-olah telah terkubur sejak revolusi 25 Januari dahulu kerana sudah digantikan dengan slogan ‘Nahmilul khayr li Masr’ (Kami membawa kebaikan kepada Mesir) yang dijulang oleh parti FJP milik IM sekarang
            Puak salafi berasa kecewa setelah beberapa orang calon mereka tidak tersenarai sebagai calon presiden yang akan bertanding. Pada mulanya, seramai 23 calon telah dinamakan. Tetapi 10 orang telah ditolak permohonannya setelah terbabit dengan isu-isu berkaitan undang-undang dan kelayakan mereka. Menarik sekali, dari 23 tinggal 13 calon yang telah dinamakan.
            Diantara 10 orang tersebut, mereka yang tersingkir diantaranya ialah, nama-nama heavyweight seperti calon Ikhwan Muslimun (IM), Khayrat Shater; mantan ketua perisikan tentera Mesir, Jen. Omar Sulaiman; dan juga calon Salafi paling popular, Hazem Abu Ismail merupakan di antara mereka yang ditolak pencalonannya. Selapas tamat tempoh rayuan, ternyata kesemua mereka terpaksa menerima keputusan muktamad pihak suruhanjaya pilihanraya yang menolak kesemua rayuan tersebut.
            13 calon yang tertinggal, maka mata lebih tertumpu kepada calon-calon yang mewakili dua kelompok. Kelompok pertama diwakili oleh tiga nama utama iaitu mantan pemimpin IM yang dipecat, Dr Abdel Mon’em Abul futouh; tokoh akademik dan intelektual, Dr Muhammad Salem al-Ewa dan calon dari IM dan juga presiden parti FJP, Dr. Muhammad Morsi. Mereka digelar sebagai kelompok Islamis.
            Kelompok yang menentang pula terdiri daripada beberapa nama yang heavyweight iaitu mantan setiauasaha Liga Arab, Amr Mousa; ketua parti al-Karamah dan lambang golongan sosialis, Dr Hamden Sabahi dan juga mantan Perdana Menteri Mesir di zaman Mubarak, Ahmad Syafiq. Mereka digelar kelompok sekular.

Kelompok Islamis vs Kelompok Sekular
            Pada 22 April lalu, menyedari betapa pentingnya kelompok islamis perlu disatusuarakan bagi menjatuhkan kelompok sekular, satu persidangan telah diadakan. Tetapi Tuhan lebih berhak memutuskan, persidangan itu gagal mendapatkan kata sepakat sehingga kelompok yang dinamakan sebagai kelompok islamis bertegang lidah dan berpecah. Kelompok islamis yang disebutkan terdiri daripada dua puak terbesar, iaitu IM dan kumpulan-kumpulan Salafi.
            Sekarang, situasi yang ditempuhi IM sangat tegang apabila mereka bukan sahaja terpaksa berdepan dengan golongan musuh iaitu golongan pro-mubarak, tetapi terpaksa berhempas pulas meraih undi dari golongan salafi yang telah berpaling dan bersepakat untuk tidak menyokong Morsi. Mereka bersepakat untuk menyokong Abul futouh, yang juga merupakan wakil dari IM.
            Apa yang berlaku sebenarnya, IM menghantar wakil mereka iaitu Shater tetapi telah ditolak penamaannya menyebabkan Morsi seolah-olah dianggap ‘bidan terjun’ yang turun bertanding di atas tiket IM.

Morsi Dan Persepsi Pelbagai Pihak
            Di atas sebab sedemikian, Morsi mendapat kritikan yang agak pedas dari pelbagai pihak. Malah dari kelompok IM sendiri ada yang protes supaya Morsi digugurkan dan digantikan semula dengan Shater dan ada pula yang bertegas ingin digantikan dengan Abul futouh. Tetapi sejarah Abul futouh yang telah memecahkan IM dan tindakan melanggar arahan pimpinan tertinggi IM yang akhirnya menyebabkan ramai berbondong-bondong keluar dari IM menyebabkan Abul futouh tidak lagi dipandang tinggi oleh rakyat Mesir dan kelompok IM sendiri.
            Golongan IM pula mempunyai alasan tersendiri kenapa Morsi dipilih sebagai wakil presiden. Dr. Maszlee menyebutkan, “kerajaan Mesir yang akan ditubuhkan dan bakal dikuasai oleh FJP tidak akan dapat menjalankan tugasnya dengan efektif jika presiden bukan dari parti yang sama. Hal seumpama ini dapat dilihat kepada pengalaman Palestin yang mempunyai parlimen dikuasai HAMAS dan presiden dari FATAH. Kesefahaman di antara kedua-dua kuasa eksekutif dan presiden amat diperlukan untuk membina Mesir yang baru. IM juga meletakkan harapan bahawa pihak yang telah menyokong FJP untuk memenangi 49% dari kerusi parlimen juga pastinya akan memilih presiden FJP untuk menjadi presiden mereka. IM juga meletakkan harapan kepada aktivis dan anggota mereka yang ramai untuk dimobilisasikan sepanjang tempoh berkempen nanti. Kehadiran lebih 50,000 anggota IM sewaktu pelancaran kempen Morsi juga telah memberikan harapan kepada IM untuk bertegas meyakini bahawa keputusan mereka mencalonkan Morsi adalah keputusan yang bijak, tepat dan selari dengan inspirasi serta disiplin perjuangan mereka.”

Era Khalifah Bermula
            24 Jun 2012 bakal menjadi pencorak sejarah yang termaktub indah buat kita.
            Memang Mesir bukan Malaysia. Tetapi tempiasnya bakal jauh dan tersebar. Bermulanya di Mesir, era khalifah yang telah lama tidur akan bangun semula. Islam bakal benar-benar memaknai sejarah pemerintahan 2/3 dunia.
            Bukan hanya sekadar kata-kata kemegahan di dalam lagu-lagu semangat yang dialunkan.
            Bukan seperti yang diuar-uarkan, era khalifah sudah kuno.
            Era khalifah bakal kembali segar.
            Kemenangan Dr. Muhammad Morsi sebenarnya banyak mendatangkan faedah buat IM bagi mendepani desakan-desakan dari pihak salafi dan pelbagai pihak yang melontarkan pandangan terhadap beliau, faedah yang sangat besar ialah apabila mobilisasi ahli parlimen yang berbilang-bilang dari pelbagai kelompok, berkepalakan seorang wakil IM di atas tiket FJP iaitu Dr. Muhammad Morsi.
            Usaha kita bukan sekadar menganggumi, tapi mencontohi.
            Jadilah pengundi Mesir. Jadilah rakyat Mesir yang terbuka dan berintelek memilih presiden. Walaupun Abul futouh juga merupakan wakil dari IM, tetapi masalah disiplin menjadikan beliau yang pernah mendapat pengaruh yang besar. Tetapi dikambinghitamkan pengaruh tersebut sehingga mengetuai kumpulan Islahiyun keluar dari IM.
            Moga-moga, tajuk artikel saya ini dapat memberikan makna yang sebenar.
            Era Khalifah Sudah Bermula! 

Sunday 29 January 2012

Kijang dan Anaknya.

Diriwayatkan oleh Abu Na'im di dalam kitab 'Al-Hilyah' bahawa seorang lelaki lalu disisi Nabi s.a.w. dengan membawa seekor kijang yang ditangkapnya. Lalu Allah Taala (Yang berkuasa menjadikan semua benda-benda bercakap) telah menjadikan kijang itu bercakap kepada Nabi s.a.w : "Hai Pesuruh Allah, sesungguhnya aku mempunyai beberapa ekor anak yang masih menyusu, dan sekarang aku sudah ditangkap sedangkan mereka sedang kelaparan, oleh itu haraplah perintahkan orang ini melepaskan aku supaya aku dapat menyusukan anak-anakku itu dan sesudah itu aku akan balik ke mari."

Bersabda Rasulullah s.a.w. " Bagaimana kalau engkau tidak balik ke mari semula?" Jawab kijang itu: "Kalau aku tidak balik ke mari, nanti Allah Taala akan melaknatku sebagaimana ia melaknat orang yang tidak mengucapkan selawat bagi engkau apabila disebut nama engkau disisinya."

Lalu Nabi s.a.w. pun bersabda kepada orang itu : "Lepaskan kijang itu buat sementara waktu dan aku jadi penjaminnya." Kijang itu pun dilepaskan dan kemudian ia kembali ke situ semula. Maka turunlah malaikat Jibril a.s. dan berkata : "Hai Muhammad, Allah Taala mengucapkan salam kepada engkau dan Ia (Allah) berfirman: " Demi KemuliaanKu dan KehormatanKu, sesungguhnya Aku lebih kasihkan umat Muhammad daripada kijang itu kasihkan anak-anaknya dan Aku akan kembalikan mereka kepada engkau sebagaimana kijang itu kembali kepada engkau."
Hai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (surah Al-Baqarah ayat : 208)

 Alhamdulillah… Marilah memperbanyakkan bersyukur dan berselawat ke atas junjungan Nabi kita kerana kita tergolong dalam umat Muhammad. Panjangkan kisah ini kepada sahabat-sahabat dan saudara-mara. Semoga kita sama-sama berusaha dalam menghidupkan rasa kasih sayang terhadap Rasulullah SAW.

Followers