Sunday, 24 June 2012

Era Khalifah Sudah Bermula!



           

            Sejujurnya perasaan takut menjelira ketika hasrat saya menanti keputusan pilihan raya presiden Mesir diumumkan, dan saya hajatkan ingin menulis sesuatu buah fikiran mengenainya. Sebuah artikel yang ringan dan santai, sesuai untuk sahabat sebaya saya membaca dan memahaminya. Justeru, terlalu banyak rujukan yang saya perlu terjah hingga saya merasakan, menerjah maklumat lebih susah dari menulis sendiri. Ia kerana tulisan-tulisan mengenainya teramatlah berat.
            Baca seperenggan sahaja sudah dirasakan terlalu banyak. Fakta yang bertindan-tindan dan terhimpun dalam suatu ruang yang kecil. Pasti golongan anak muda mengecualikan diri dari membacanya.

Rintangan Morsi
            Presiden parti FJP iaitu Dr. Muhammad Morsi bukan hanya bertanding dengan kelompok pro-mubarak, seperti PAS dan UMNO, tetapi perlu kita faham, Dr. Muhammad Morsi sebenarnya ditentang juga oleh puak Salafi. Mereka bersepakat untuk tidak menyokong Dr. Muhammad Morsi walaupun beliau telah menggunakan slogan lama Ikhwanul Muslimin yang pernah disokong semua suatu ketika dahulu iaitu ‘al-Islam Huwal Hal’ (Islam adalah jalan penyelesaian). Slogan ini seolah-olah telah terkubur sejak revolusi 25 Januari dahulu kerana sudah digantikan dengan slogan ‘Nahmilul khayr li Masr’ (Kami membawa kebaikan kepada Mesir) yang dijulang oleh parti FJP milik IM sekarang
            Puak salafi berasa kecewa setelah beberapa orang calon mereka tidak tersenarai sebagai calon presiden yang akan bertanding. Pada mulanya, seramai 23 calon telah dinamakan. Tetapi 10 orang telah ditolak permohonannya setelah terbabit dengan isu-isu berkaitan undang-undang dan kelayakan mereka. Menarik sekali, dari 23 tinggal 13 calon yang telah dinamakan.
            Diantara 10 orang tersebut, mereka yang tersingkir diantaranya ialah, nama-nama heavyweight seperti calon Ikhwan Muslimun (IM), Khayrat Shater; mantan ketua perisikan tentera Mesir, Jen. Omar Sulaiman; dan juga calon Salafi paling popular, Hazem Abu Ismail merupakan di antara mereka yang ditolak pencalonannya. Selapas tamat tempoh rayuan, ternyata kesemua mereka terpaksa menerima keputusan muktamad pihak suruhanjaya pilihanraya yang menolak kesemua rayuan tersebut.
            13 calon yang tertinggal, maka mata lebih tertumpu kepada calon-calon yang mewakili dua kelompok. Kelompok pertama diwakili oleh tiga nama utama iaitu mantan pemimpin IM yang dipecat, Dr Abdel Mon’em Abul futouh; tokoh akademik dan intelektual, Dr Muhammad Salem al-Ewa dan calon dari IM dan juga presiden parti FJP, Dr. Muhammad Morsi. Mereka digelar sebagai kelompok Islamis.
            Kelompok yang menentang pula terdiri daripada beberapa nama yang heavyweight iaitu mantan setiauasaha Liga Arab, Amr Mousa; ketua parti al-Karamah dan lambang golongan sosialis, Dr Hamden Sabahi dan juga mantan Perdana Menteri Mesir di zaman Mubarak, Ahmad Syafiq. Mereka digelar kelompok sekular.

Kelompok Islamis vs Kelompok Sekular
            Pada 22 April lalu, menyedari betapa pentingnya kelompok islamis perlu disatusuarakan bagi menjatuhkan kelompok sekular, satu persidangan telah diadakan. Tetapi Tuhan lebih berhak memutuskan, persidangan itu gagal mendapatkan kata sepakat sehingga kelompok yang dinamakan sebagai kelompok islamis bertegang lidah dan berpecah. Kelompok islamis yang disebutkan terdiri daripada dua puak terbesar, iaitu IM dan kumpulan-kumpulan Salafi.
            Sekarang, situasi yang ditempuhi IM sangat tegang apabila mereka bukan sahaja terpaksa berdepan dengan golongan musuh iaitu golongan pro-mubarak, tetapi terpaksa berhempas pulas meraih undi dari golongan salafi yang telah berpaling dan bersepakat untuk tidak menyokong Morsi. Mereka bersepakat untuk menyokong Abul futouh, yang juga merupakan wakil dari IM.
            Apa yang berlaku sebenarnya, IM menghantar wakil mereka iaitu Shater tetapi telah ditolak penamaannya menyebabkan Morsi seolah-olah dianggap ‘bidan terjun’ yang turun bertanding di atas tiket IM.

Morsi Dan Persepsi Pelbagai Pihak
            Di atas sebab sedemikian, Morsi mendapat kritikan yang agak pedas dari pelbagai pihak. Malah dari kelompok IM sendiri ada yang protes supaya Morsi digugurkan dan digantikan semula dengan Shater dan ada pula yang bertegas ingin digantikan dengan Abul futouh. Tetapi sejarah Abul futouh yang telah memecahkan IM dan tindakan melanggar arahan pimpinan tertinggi IM yang akhirnya menyebabkan ramai berbondong-bondong keluar dari IM menyebabkan Abul futouh tidak lagi dipandang tinggi oleh rakyat Mesir dan kelompok IM sendiri.
            Golongan IM pula mempunyai alasan tersendiri kenapa Morsi dipilih sebagai wakil presiden. Dr. Maszlee menyebutkan, “kerajaan Mesir yang akan ditubuhkan dan bakal dikuasai oleh FJP tidak akan dapat menjalankan tugasnya dengan efektif jika presiden bukan dari parti yang sama. Hal seumpama ini dapat dilihat kepada pengalaman Palestin yang mempunyai parlimen dikuasai HAMAS dan presiden dari FATAH. Kesefahaman di antara kedua-dua kuasa eksekutif dan presiden amat diperlukan untuk membina Mesir yang baru. IM juga meletakkan harapan bahawa pihak yang telah menyokong FJP untuk memenangi 49% dari kerusi parlimen juga pastinya akan memilih presiden FJP untuk menjadi presiden mereka. IM juga meletakkan harapan kepada aktivis dan anggota mereka yang ramai untuk dimobilisasikan sepanjang tempoh berkempen nanti. Kehadiran lebih 50,000 anggota IM sewaktu pelancaran kempen Morsi juga telah memberikan harapan kepada IM untuk bertegas meyakini bahawa keputusan mereka mencalonkan Morsi adalah keputusan yang bijak, tepat dan selari dengan inspirasi serta disiplin perjuangan mereka.”

Era Khalifah Bermula
            24 Jun 2012 bakal menjadi pencorak sejarah yang termaktub indah buat kita.
            Memang Mesir bukan Malaysia. Tetapi tempiasnya bakal jauh dan tersebar. Bermulanya di Mesir, era khalifah yang telah lama tidur akan bangun semula. Islam bakal benar-benar memaknai sejarah pemerintahan 2/3 dunia.
            Bukan hanya sekadar kata-kata kemegahan di dalam lagu-lagu semangat yang dialunkan.
            Bukan seperti yang diuar-uarkan, era khalifah sudah kuno.
            Era khalifah bakal kembali segar.
            Kemenangan Dr. Muhammad Morsi sebenarnya banyak mendatangkan faedah buat IM bagi mendepani desakan-desakan dari pihak salafi dan pelbagai pihak yang melontarkan pandangan terhadap beliau, faedah yang sangat besar ialah apabila mobilisasi ahli parlimen yang berbilang-bilang dari pelbagai kelompok, berkepalakan seorang wakil IM di atas tiket FJP iaitu Dr. Muhammad Morsi.
            Usaha kita bukan sekadar menganggumi, tapi mencontohi.
            Jadilah pengundi Mesir. Jadilah rakyat Mesir yang terbuka dan berintelek memilih presiden. Walaupun Abul futouh juga merupakan wakil dari IM, tetapi masalah disiplin menjadikan beliau yang pernah mendapat pengaruh yang besar. Tetapi dikambinghitamkan pengaruh tersebut sehingga mengetuai kumpulan Islahiyun keluar dari IM.
            Moga-moga, tajuk artikel saya ini dapat memberikan makna yang sebenar.
            Era Khalifah Sudah Bermula! 

Followers