Friday 3 August 2012

Rohingnya Berteriak Memanggil Kita



            Pembantaian kejam terhadap umat minoriti muslim di Rohingnya bukan sehari dua seperti yang diberitakan dan dihangatkan kini, namun sejarah hitam yang telah menimpa saudara seagama kita di sana adalah hasil daripada palitan sejarah yang bersambung-sambung dan berepisod-episod. Ia seolah-seolah kekejaman bersiri daripada kaum Buddha selepas mengambil alih penguasaan orang Islam terhadap wilayah Arakan, Myanmar (Buddha) dengan penuh ketidakmanusiaan.
            Peristiwa bermula sejak 1430 sehingga 1748 M setelah hampir tiga abad Arakan diperintah oleh orang Islam kemudian dirampas secara kejam oleh kaum Buddha. Mereka (kaum Buddha) membunuh kaum muslimin dan menumpahkan darah khususnya para pendakwah dan ulama selain memusnahkan sekolah-sekolah dan masjid-masjid serta binaan-binaan Islam yang lain.
            Sejarah hitam terus mewarnai kaum Islam Myanmar sehingga pada tahun 1942, orang Islam telah dibunuh beramai-ramai oleh puak Buddha sehingga ribuan umat Islam mati dan ratusan ribu yang lain diusir.
            Pada tahun 1990, satu pilihan raya telah diadakan dan parti pembangkang, National Democratic Party telah menang majoriti. Bagaimanapun, pihak tentera tidak mengiktiraf peralihan kuasa sehinggalah satu perlembagaan baru dirangka dan mesyuarat terus-menerus diadakan sejak tahun 1993 untuk mendraf perlembagaan.
            Di sepanjang masa rampasan kuasa ini, kaum Muslimin sentiasa berada dalam keadaan ditindas oleh puak fanatik Buddha di bawah pemerintahan tentera, yang telah memaksa lebih dari 3000 kaum Muslimin berhijrah ke Bangladesh. Lebih dari 500,000 pula telah diusir keluar dari Burma pada tahun 1978 dan mengikut statistik agensi pembantu pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), lebih dari 40,000 termasuk orang-orang tua, wanita dan kanak-kanak mati kerana keadaan sukar yang mereka alami sepanjang pelarian.
            Penindasan terhadap kaum muslimin berterusan sehingga pada 1988, 150 ribu kaum muslimin telah berhijrah ke luar negeri kerana tidak tahan menghadapi penindasan yang kejam manakala setengah juta dari kaum muslimin di Rohingnya terus menjadi mangsa pengusiran oleh kerajaan Burma yang dipelopori oleh kaum Buddha.
            Sehingga kini, 2012, Rohingnya terus diasak dan ditindas dengan zalim dan kejam tetapi pihak-pihak yang bersuara lantang ingin memelihara keamanan umat Islam terus lena dipagut kesenangan. PBB setakat ini masih tidak bersuara dan mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai penindasan umat minoriti Islam di Rohingnya. OIC pula khabarnya sudah berhubung dengan Asean tetapi Asean pula masih membisu, dan negara-negara majoriti umat Islam di seperti Malaysia dan Indonesia juga masih membisu.
            Aung San SuuKyi yang dahulunya pernah menjadi pemimpin pembangkang di dalam kancah politik Burma, dan menerima Hadiah Nobel Keamanan serta berkunjung ke beberapa buah negara kerana lantang bersuara menentang kekejaman dan penindasan di seluruh dunia, kini kemunculannya masih dinanti dan ditagih oleh masyarakat Islam yang paling teraniaya di dunia, iaitu muslim Rohingnya.
            Masyarakat masih lena dipagut kesenangan dan kemewahan, menempuhi Ramadhan dengan penuh enak dan bersuka-ria sedangkan saudara seakidah kita di sana berhempas pula mempertahankan identiti muslim dan akidah yang satu. Rakyat pula dibutatulikan daripada mendapat sebarang khabar berita daripada saudara seagama kita di sana kerana media-media tempatan seolah-olah tidak melihat apa yang berlaku di negara jiran kita ini.
            Seramai 25 000 pelarian Rohingnya kini menagih simpati di Malaysia, manakala 500 000 pelarian di Bangladesh, dan 100 000 di perbatasan Myanmar-Thailand. Penindasan mutakhir ini sebenarnya bermula daripada tragedi 3 Jun 2012 apabila sekumpulan penganut Buddha menyerang sebuah bas yang membawa orang-orang Islam dan membunuh sembilan orang daripada mereka. Dengan meletusnya tragedi ini, hal-hal lain seperti pembunuhan dan pembakaran rumah serta pengusiran terus terjadi di antara penganut Buddha dan orang Islam, sehingga meliputi beberapa kawasan penempatan kaum Muslimin, mengakibatkan puluhan ribu umat Islam mula lari daripada tempat kediaman masing-masing. Kerajaan Bangladesh pula tidak mahu menolong pelarian Muslim yang lari memasuki negaranya, malah menghantar semula mereka pulang dan menutup semua pintu sempadan untuk mereka.
            Dalam musim yang sama tahun lepas, kaum Muslimin juga terdedah kepada serangan yang sama dan dipaksa meninggalkan Myanmar. Sejak berdekad lamanya, saban tahun kaum Muslimin menghadapi tragedi pembunuhan, penganiayaan, pengusiran dan juga pencerobohan rumah-rumah mereka di tangan penjahat Buddha dengan sokongan dari rejim Myanmar. Barat yang diketuai oleh Amerika memuji rejim kerana membebaskan pemimpin pembangkang SuuKyi dan memuji proses pendemokrasian Myanmar, namun tidak memerhatikan sedikit pun penderitaan yang berlaku ke atas kaum Muslimin.
            Masyarakat harus memasang telinga dan mencelik luas mata memerhati keadaan yang perit sedang ditempuh oleh umat Islam di sana. Justeru, beberapa program kesedaran dan penyampaian maklumat kepada seluruh masyarakat Malaysia harus segera dijalankan seperti program Solat Hajat Perdana dan juga kempen selamatkan Rohingnya. Berita-berita juga perlu sampai kepada telinga rakyat dengan alternatif lain bagi mencetuskan suasana cakna dan prihatin terhadap sesama umat Islam sekali gus menjadi lambang kesatuan umat Islam dalam memelihara antara satu sama lain.
            Ya, Rohingnya berteriak memanggil kita.
            Dan kita samada buat-buat tidak dengar atau memang tidak mahu mendengar rintihan mereka. 

Followers