ULASAN POLITIK

..:::::KEMENANGAN  MUHAMMAD IBN ABDULLAH  (S.A.W):::..



 Kalimah Allahuakbar telah bergema dan berkumandang di setiap penjuru bumi Allah s.w.t ini, siang dan malam.  Diulang-ulang oleh jutaan manusia, gema suara itu terus menerus sepanjang empat belas abad yang lalu tanpa berhenti dan tidak pula mati.  Walaupun pemerintahan negara silih berganti dan keadaan alam sekitar selalu berubah, tetapi laungan kalimah  Allahuakbar tidak akan bertukar ganti.  Bergemanya laungan abadi berkenaan menjadi bukti  yang nyata bagi kemenangan Muhammad ibn Abdullah s.a.w.

Kemenangan itu bukanlah dimaksudkan dengan kemenangan dalam pertempuran di medan, juga bukan dimaksudkan dengan kemenangan membuka Makkah dan menyatukan seluruh  Semenanjung Arab di bawah pemerintahan Islam.  Juga bukan dimaksudkan kemenangan menundukkan dua kerajaan yang besar pada masa itu iaitu Rom dan Farsi, tetapi kemenangan yang dimaksudkan ini adalah kemenangan yang bersifat sejagat, menjiwai penyusunan hidup ini,  merubah perjalanan sejarah dan memberi nilai-nilai murni dan tetap (thabat) sepanjang zaman.

Sesungguhnya  kemenangan Rasulullah s.a.w itu tidak lenyap walaupun kadang-kadang berlaku kelemahan yang mendatang ke atas umat Islam.  Nilainya tidak hilang meskipun timbul berbagai aliran baru (dengan nama-nama baru) serta berbagai falsafah moden, cahayanya tidak padam dengan penguasaan satu golongan ke atas golongan yang lain.   Ini disebabkan oleh asasnya yang amat kukuh bertapak di alam ini, menjiwai hati manusia dan menjelma dalam berbagai lapangan hidup ini.

Pada hakikatnya kemenangan itu telah membawa  bukti-bukti yang nyata tanpa memerlukan bukti-bukti yang lain lagi, cuma apa yang perlu bagi kita ialah mengkaji dan menyelidik bagi mengetahui faktor-faktor kemenangannya serta jalan yang telah dilalui baginda.

Tidak syak lagi bahawa Allah s.w.t menghendaki kemenangan bagi Nabi Muhammad s.a.w serta menghendaki  Deen Islam itu menguasai alam ini.  Bagaimanapun Allah s.w.t tidak memberi kemenangan dengan begitu  mudah sekali,  Allah s.w.t tidak menjadikannya seperti ‘mukjizat’  tanpa memerlukan mujahadah serta jalan yang perlu diikuti oleh manusia.  Kita lihat di dalam seerah bahawa Allah s.w.t   menjadikan kemenangan itu sebagai hasil tabii dari Jihad Rasulullah s.a.w dan para sahabat baginda,  serta natijah yang selayaknya dari pengorbanan mereka.

Sesiapa yang ingin mengetahui bagaimana Rasulullah s.a.w mencapai kemenangan, serta bagaimana Islam berjaya, maka hendaklah ia mempelajari serta meneliti akan keperibadian Rasulullah s.a.w,  tindakannya,  perjalanan hidupnya (sirahnya)  serta jihadnya semoga dia dapat memahami bahawa jalan kemenangan/kejayaan itu sudah tersedia dan terbentang serta faktor-faktornya telah sedia wujud.  Sesiapa juga inginkan kemenangan walau di zaman mana dan di mana tempat ia berada, oleh itu hendaklah ia mengikut contoh-contoh yang telah dilalui oleh Rasulullah  s.a.w.





Terdapat tiga nilai asasi kejayaan Muhammad ibni Abdullah  s.a.w :

Pertama :  Kejayaan Peribadi  Baginda Rasulullah s.a.w sendiri   -  ketika mana orang-orang kafir Quraisy meminta bapa saudaranya ( Abu Talib ) supaya menahan baginda daripada bercakap mengenai tuhan-tuhan mereka, mereka telah membuat berbagai tawaran kepadanya, sekiranya baginda  mahukan hartabenda maka mereka akan berikannya, jika baginda  inginkan pangkat maka mereka akan mengangkatnya menjadi raja dan apa sahaja yang dikehendaki olehnya maka mereka akan berikan semuanya.   Sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah berjaya mengetuk  pendengaran mereka dan pendengaran dunia umumnya di sepanjang zaman dengan sumpahnya yang abadi yang terbit dari keimanan dan keyakinannya,  sumpah berkenaan membawa maksud :

“  Demi Allah !,  sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku untuk aku tinggalkan urusan ini (perintah Allah),  maka sekali-kali aku tidak akan tinggalkan sehingga Allah buktikan kejayaannya ataupun aku  mati. “

Sungguh hebat, Inilah gambaran tindakan yang dicetuskan oleh  Iman sejati, bukan terbit dari khayalan manusia semata.


Kedua :  Kejayaan Rasulullah s.a.w Membentuk Jamaah Sahabat Ridhwanullahialaihim – jamaah yang merealisasikan iman mereka dalam  gerak kehidupan mereka.  Baginda berjaya membentuk/mencorak mereka mengikut corak al Quran sehingga jadilah mereka itu ibarat al Quran yang bergerak di atas muka bumi ini.  Baginda berjaya menjadikan  mereka sebagai model berjisim bagi Islam, jika manusia melihat mereka, bermakna melihat Islam itu sendiri.

Sebenarnya  nas-nas (ayat-ayat) al Quran sahaja tidak bermakna sekiranya tidak dijelmakan dalam amalan seseorang, prinsip-prinsip  sahaja tidak hidup melainkan dijelmakan dalam tingkahlaku dan amalan hidup ini.  Kita dapati Rasulullah s.a.w meletakkan haluan utamanya ialah :  membentuk rijal/pendokong-pendokong Islam, tidak semata-mata menyampaikan peringatan-peringatan sahaja. Baginda mendidik jiwa mereka , tidak semata-mata berkhutbah sahaja.  Baginda membina  Ummah bukan membangunkan falsafah.

Adapun  Fikrah Islam itu telah terkandung di dalam al Quran al Karim, maka peranan Rasulullah s.a.w ialah membentuk Rijal yang mendokong fikrah tersebut sehingga dapat disaksikannya dengan mata kasar.  Apabila rijal yang sudah terbentuk keperibadian mereka itu bergerak menjalankan aktiviti mereka di atas mukabumi ini, maka manusia lain melihat suatu keperibadian yang unik yang tidak pernah dilihat sebelum itu kerana keperibadian mereka itu adalah terjemahan atau jelmaan dari fikrah Islam yang unik, yang tidak pernah dikenali dalam sejarah manusia sebelum itu.  Ketika itu barulah manusia lain yakin dengan fikrah Islam kerana mereka telah yakin kepada rijal atau pendokong-pendokong fikrah itu yang telah menghayati Islam sepenuhnya dalam kehidupan mereka,  juga barulah mereka  mahu mengambil contoh tauladan serta menuruti jalan yang telah dilalui oleh rijal itu.
 



Fikrah Islam sahaja tidak akan hidup melainkan apabila fikrah itu dijelmakan di dalam kehidupan manusia seluruhnya.  Dalam hal ini kita dapati Rasulullah s.a.w telah berjaya membentuk atau mendidik  sehingga fikrah Islam itu menjadi manusia yang berfikrah.  Baginda berjaya dalam tarbiyyahnya sehingga keimanan mereka itu lahir dalam bentuk amalan praktik hidup, seolah-olah baginda dberjaya mencetak berpuluh-puluh, beratus-beratus bahkan beribu-ribu naskah al Quran, tetapi  bukanlah dicetak  dengan dakwat atas lembaran-lembaran kertas, hanya sanya baginda mencetak beribu-ribu naskah al Quran itu dengan Nur Iman di ats lembaran-lembaran hati dan jiwa manusia.  Generasi al Quran itulah yang dikeluarkan  ke tengah-tengah masyarakat manusia, menjelas dan menghuraikan dengan perbuatan serta amalan mengenai apakah Islam yang telah dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi utusan Allah s.w.t itu.


Ketiga :   Kejayaan Rasulullah s.a.w Ketikamana Baginda Menjadikan Syariat Islam Sebagai Sistem Yang Memerintah Hidup Ini – menyusun masyarakat, mengatur perhubungan di antara manusia dand menentukan nilai-nilai manusia dan benda.

Sesungguhnya Islam itu adalah suatu ‘aqidah yang melahirkan syariat dan terbina di atas  syariat itu  suatu sistem atau peraturan.  Himpunan ‘aqidah dan syariat serta sistem itu maka terbentuklah pokok Islam, tiap-tiap pokok ada akarnya, batangnya dan buahnya (hasilnya), tidak tegak batang dan tidak lahir buahnya tanpa akarnya yang menjunam ke dalam bumi,  tidak bernilai bagi akar yang tidak tumbuh batang pokoknya dan tidak bernilai atau berfaedah pokok yang tidak mengeluarkan hasilnya.

Oleh sebab itulah Islam menggesa supaya berhukum dengan syariat Allah s.w.t di dalam hidup ini.  Firman-firman Allah s.w.t menjelaskan perkara ini:








Terjemahannya:

“  Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat di dalamnya (ada) petunjuk dan cahaya (yang menerangi) , yang dengan Kitab itu diputuskan perkara orang-orang Yahudi oleh nabi-nabi  yang menyerah diri kepada Allah, oleh orang-orang alim mereka dan pendita-pendita mereka, disebabkan mereka diperintahkan memelihara kitab-kitab Allah dan mereka menjadi saksi terhadapnya.  Kerana itu janganlah kamu takut kepada manusia, (tetapi) takutlah kepada Ku.  Dan janganlah kamu menukar ayat-ayat Ku dengan harga yang sedikit.  Barangsiapa yang tidak memutuskan menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang kafir. “
(Surah al Maa-idah : 44)




Terjemahannya:

“  Dan Kami telah tetapkan terhadap mereka di dalamnya ( at Taurat ) bahawasanya jiwa (dibalas) dengan jiwa, mata dengan mata, hidung  dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka (pun) ada qisasnya. Barangsiapa yang melepaskan (hak qisasnya), maka melepaskan hak itu (menjadi) penebus dosa baginya.  Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang zalim.  “
(Surah al Maa-idah  : 45)







Terjemahannya:

“  Dan hendaklah orang-orang yang  mengikuti Injil, memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah di dalamnya.  Barangsiapa yang tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan Allah, maka mereka itu adalah orang-orang yang fasik. “
( Surah al Maa-idah : 47)




Jika dilaksanakan, maka luputlah dongeng-dongeng yang menganggap bahawa Deen itu terpisan dari daulah (pemerintahan).  Sebenarnya tidak wujud daulah tanpa deen dan tidak ada deen tanpa syariat dan sistem.  Sejak hari pertama tegaknya  Daulah Islamiyyah, maka syariat Islamlah yang  berjalan, memerintah daulah tersebut, pemilik syariat itu ialah Allah s.w.t.  Kerajaan Islam bermula sejak penganut Islam masih kecil bilangan mereka.  Namun mereka telah berjaya mempertahankannya serta mengawalnya.  Kerajaan itu bertapak kukuh di suatu bahagian bumi ini  dibawah  naungan panji-panji Islam.  Di masa itu Islam menjadi sistem hidup bermasyarakat, hubungan antara muslimin dan antarabangsa.  Kemudian Islam berkembang luas dengan membawa ‘aqidah, syariat serta sistemnya di mana sahaja Islam itu bertapak, sesiapa yang suka maka dia boleh menganut Islam  dan sesiapa yang enggan maka tidak ada paksaan ke atasnya.  Bagaimanapun sistem Islam tetap memberi keadilan dan kebaikannya.  Ketika itu berduyun-duyunlah manusia menganut Islam dengan rela hati mereka, benarlah janji Allah  s.w.t  kepada Rasulnya  seperti firman Nya :




Terjemahannya:

“  Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, dan kamu lihat manusia masuk agama Allah berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada Nya.  Sesungguhnya  Dia adalah Maha  Penerima Taubat.  “
( Surah an Nashr : 1-3)







Islam telah berjaya kerana ‘aqidahnya melahirkan syariat dan membangunkan sistem hidup yang memberi ketenteraman kepada manusia dan seluruh  alam ini.  Berjaya  Rasulullah  s.a.w  kerana  baginda melaksanakan syariat Allah s.w.t seperti yang dikehendaki.


Inilah nilai-nilai asasi kejayaan Rasulullah s.a.w yan telah diabadikan dalam hidup ini. Kejayaan ini InsyaAllah boleh dimiliki oleh generasi sekarang,  asas panduannya sudah tersedia, hanya memerlukan usaha kita bagi mencapai kejayaan yang ditakdirkan oleh Allah s.w.t kepada sesiapa yang menolong menegakkan deen Nya.   -


Wallah hu ‘alam.

Followers