Sunday 7 August 2011

Perkara yang ditinggalkan....


Antara perkara yang telah ditinggalkan umat ialah memanfaatkan kemudahan dan kelonggaran hukum yang diberikan oleh syari`at Islam kepada orang yang berpuasa. Islam adalah satu agama yang mudah lagi memudahkan. 

Allah Subhanahu wa Ta`ala telah berfirman:
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." [al-Baqarah 2:286]. 

Berdasarkan firman-Nya ini, Allah telah memberi beberapa kemudahan atau kelonggaran hukum di dalam syari`at Islam. Sangat dianjurkan untuk memanfaatkan kemudahan dan kelonggaran ini sebagaimana pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam:
"Sesungguhnya Allah menyukai keringanan-keringanan hukum-Nya diamalkan sebagaimana Ia benci larangan-larangan-Nya dikerjakan." [Musnad Ahmad – no: 5866 dan dinilai sahih oleh Syaikh Syu`aib al-Arna'uth]

Bagi ibadah puasa, Allah telah memberi kelonggaran hukum kepada tiga kategori keuzuran. Daripada tiga kategori ini, hanya kategori pertama yang dimanfaatkan manakala dua kategori yang selebihnya jarang-jarang dimanfaatkan. Tiga kategori tersebut adalah:

Kategori pertama:
Keuzuran yang mewajibkan seseorang itu untuk tidak berpuasa dan dia wajib mengqadhanya selepas itu. Ini adalah keuzuran yang dialami oleh para wanita yang didatangi haid dan nifas.

Kategori kedua:
Keuzuran yang memberi pilihan kepada seseorang untuk berpuasa atau tidak dan faktor keuzuran tersebut hilang selepas bulan Ramadhan berakhir. Maka dia wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan.

Contohnya:
1.    Orang yang bermusafir di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak berpuasa. Setelah bulan Ramadhan dia tidak lagi bermusafir, maka dia wajib qadha puasa yang ditinggalkan itu. [Lebih lanjut rujuk artikel penulis Kemudahan Puasa Ramadhan Ketika Musafir]
2.    Orang yang sakit di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak berpuasa kerana yakin sama ada berdasarkan pengalaman atau nasihat doktor pakar bahawa berpuasa akan memudaratkan lagi kesihatannya. Setelah itu dia kembali sihat, maka dia wajib qadha puasa yang ditinggalkan itu.
3.    Orang yang terpaksa bekerja keras di dalam bulan Ramadhan sehingga dia tidak terdaya berpuasa. Akan tetapi selepas itu dia tidak lagi membuat apa-apa kerja keras, maka dia wajib qadha puasa yang ditinggalkan itu.
4.    Seorang ibu yang mengandung atau menyusukan anak di dalam bulan Ramadhan, dia memilih untuk tidak berpuasa demi menjaga kesihatan diri dan anaknya. Setelah itu dia tidak lagi mengandung atau menyusukan anak. Maka dia wajib qadha puasa yang ditinggalkan itu.

Kategori ketiga:
Keuzuran yang memberi pilihan kepada seseorang untuk berpuasa atau tidak dan faktor keuzuran tersebut tetap wujud selepas bulan Ramadhan berakhir. Maka dia tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan tetapi hanya perlu membayar fidyah, iaitu bagi setiap hari yang ditinggalkan, dia memberi makan kepada satu orang miskin dengan kadar yang dapat mengenyangkan orang tersebut.

Contoh bagi kategori ketiga ini:
1.    Orang yang mengalami sakit yang tetap atau berpanjangan, seperti kanser, gastrik yang serius, lumpuh atau semata-mata kerana tua. Dia tidak dapat berpuasa sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selepasnya. Maka orang seperti ini tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya, dia hanya wajib membayar fidyah.
2.    Orang yang terpaksa bekerja keras (hard labour) secara tetap seperti pekerja buruh, pembinaan, lombong dan sebagainya. Dia tidak dapat berpuasa sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selepasnya. Maka orang seperti ini tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya, dia hanya wajib membayar fidyah.
3.    Seorang ibu yang mengandung atau menyusukan anak di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak berpuasa. Namun menjelang Ramadhan seterusnya, dia telah mengandung kembali atau masih menyusukan anak. Maka bagi si ibu dia tidak wajib mengqadha puasa yang ditinggalkannya, dia hanya wajib membayar fidyah. 

Dalil bagi kelonggaran kategori pertama:

A'isyah radhiallahu 'anha berkata:
      "Apabila yang demikian itu (haid) menimpa kami, maka kami disuruh (oleh Rasulullah) mengqadha puasa namun tidak disuruh untuk mengqadha solat." [Shahih Muslim – no: 335 (Kitab al-Haid)] Daripada keterangan A'isyah di atas, dapat difahami bahawa seorang wanita yang didatangi haid tidak diwajibkan bersolat dan berpuasa. Ini kerana perkataan "...disuruh mengqadha puasa namun tidak disuruh
untuk mengqadha solat" menunjukkan dua ibadah tersebut pada asalnya tidak diwajibkan dalam waktunya ke atas wanita yang didatangi haid. Hukum yang sama diterapkan ke atas wanita yang didatangi nifas. Hikmah kelonggaran ini adalah kerana apabila seorang wanita didatangi haid dan nifas, mereka mengalami gangguan yang berat ke atas kesihatan badan mereka. Ini kerana pertukaran hormon dan
kehilangan darah pada saat itu sememangnya memberi kesan ke atas kesihatan tubuh badan. Mewajibkan puasa dan solat pada keadaan seperti ini hanya akan memberatkan lagi kesan yang sedang dihadapi. Dengan itu Allah memudahkan kepada mereka untuk tidak berpuasa dan tidak bersolat pada saat didatangi haid dan nifas. Perhatikan juga bahawa di dalam kelonggaran ini, mereka hanya diwajibkan mengqadha puasa dan bukan solat. Sekalipun solat adalah ibadah yang paling penting, mengqadhanya akan memberatkan para wanita kerana ia melibatkan jumlah yang banyak dan pengulangan yang kerap. Berbeza dengan mengqadha puasa, ia tidak melibatkan jumlah yang banyak mahupun pengulangan yang kerap. Sememangnya Allah adalah tuhan yang Maha Bijaksana dan Maha Mengasihi. [Lebih lanjut rujuk buku yang disunting oleh penulis berjudul Petunjuk al-Qur'an dan al-Sunnah Berkenaan Haid, Istihadah dan Nifas terbitan Jahabersa, Johor Bahru 2004]

Dalil bagi kelonggaran kategori kedua dan ketiga:

Firman Allah Subhanahu wa Ta`ala:(184).
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui. [al-Baqarah 2:183-184]

Daripada dua ayat di atas jelas bahawa puasa adalah wajib kecuali kepada orang yang sakit atau musafir. Pengecualian ini adalah kerana orang yang sedang sakit atau musafir lazimnya mengalami kesukaran untuk berpuasa. Maka "kesukaran" adalah faktor penentu sama ada untuk berpuasa atau tidak. 
Berdasarkan kaedah qiyas, mana-mana orang yang mengalami kesukaran untuk berpuasa sekalipun tidak sakit atau musafir, seperti pekerja keras (hard labour) dan ibu yang mengandung atau menyusukan anak, mereka juga dikecualikan daripada kewajipan berpuasa.Sama ada mereka wajib mengqadha puasa yang ditinggalkan atau hanya membayar fidyah, hal ini ditentukan oleh firman Allah: "…kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin." Pembeza antara mengqadha puasa atau membayar fidyah adalah dengan memerhatikan sama ada faktor keuzuran yang menyebabkan dia meninggalkan puasa masih wujud atau tidak. Jika faktor keuzuran telah hilang, maka baginya ialah: "…kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain…". Jika faktor kesukaran masih wujud, maka baginya ialah: "…dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin." Mungkin timbul persoalan lanjut bahawa terdapat beberapa riwayat daripada kalangan sahabat bahawa ayat 184 surah al-Baqarah telah dibatalkan oleh ayat 185, iaitu:
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu;
dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. [al-Baqarah 2:185]

Dalam ayat di atas, orang yang tidak berpuasa kerana sakit atau musafir diwajibkan mengqadha puasanya. Ayat di atas tidak lagi membezakan sama ada faktor keuzuran masih wujud atau telah hilang.Untuk menjawab persoalan ini, perlu diketahui bahawa maksud nasikh dan mansukh di sisi generasi Salaf bukanlah bererti pembatalan hukum
sepertimana yang dikenali masa kini tetapi ia bererti pengkhususan atau pengecualian atau penjelasan daripada satu keumuman. [Lebih lanjut rujuk I'lam al-Muwaqi`in oleh Ibn al-Qayyim (edisi terjemahan oleh Asep & Kamaluddim; Pustaka Azzam, Jakarta 2000), jld. 1, ms. 39 (Muqaddimah, Bab Pengertian Nasikh & Mansukh) dan al-Muwafaqat oleh al-Syaitibi (diteliti oleh `Abd Allah Darraz & Ibrahim Ramadhan; Dar al-Ma`arif, Beirut 1996), jld. 3, ms. 75 (Bab al-Nasakh dengan
maksud al-Takhsis, wa al-Taqyid wa al-Bayan).] 

Maka ayat 185 surah al-Baqarah bukanlah membatalkan ayat 184, tetapi ia mengkhususkan bahawa orang yang tidak berpuasa kerana sakit atau musafir hendaklah mengqadha puasanya. Akan tetapi pengkhususan ini hanyalah bagi orang yang mampu mengqadha, yakni yang telah hilang
faktor kesukarannya. Adapun bagi orang yang tidak mampu mengqadha kerana faktor kesukaran masih wujud, mereka tidak termasuk di dalam pengkhususan ini. Rujukan mereka tetap kepada ayat 184 surah al-Baqarah.

0 comments:

Post a Comment

Followers