Friday 29 July 2011

Perkara yang ditokok tambah ke dalam ibadah puasa.



Perkara yang ditokok tambah ke dalam ibadah puasa sehingga benar-benar memberatkan umat Islam ialah perkara-perkara yang dianggap membatalkan puasa.

Syaikh Yusuf al-Qaradhawi menulis:
Para ahli fiqh radhiallahu 'anhum telah memperluas pembahasan hal-hal yang membatalkan puasa sedemikian rupa sehingga saya tidak yakin hal-hal tersebutpernah terfikir di benak seorang jua daripada para sahabat Nabi shallallahu 'alaihi wasallam, yakni orang-orang yang menyaksikan secara langsung penurunan al-Qur'an, yang memahami secara terus pesanan Allah dan Rasul-Nya dengan sebaik-baik pemahaman dan yang berpegang teguh kepadanya denga sebaik-baiknya.Banyak ahli fiqh telah memperlebarkan wilayah pembahasan akan hal-hal yang dianggap membatalkan puasa. Para fuqaha Mazhab Hanafi telah menyebut sekitar 57 perkara manakala fuqaha Mazhab al-Syafi`e tidak kalah banyaknya. Sejumlah ulama' masa kini bahkan memperincikan hal-hal yang dapat membatalkan puasa secara aneh. Mereka membuat kaedah-kaedah lalu membangun di atasnya cabang-cabang persoalan yang tidak terhitung bilangannya. Namun kaedah-kaedah itu sendiri tidak didasarkan kepada dalil-dalil yang kuat daripada al-Qur'an dan al-Sunnah. Ada di antara mereka yang berkata bahawa kemasukan sesuatu benda, seperti kerikil umpamanya, ke dalam rongga badan orang yang berpuasa akan membatalkan puasanya. [Fiqh al-Siyam (edisi terjemahan oleh Ma'ruf Abdul Jalil dan rakan-rakan dengan judul Fiqh Puasa; Era Intermedia, Solo 2001), ms. 118 & 107-108]

Perkara yang sebenarnya membatalkan puasa hanya empat iaitu makan, minum, bersetubuh dan mengambil apa yang berupa kenikmatan kepada diri seperti menghisap rokok. Dalilnya adalah hadis daripada Abu Hurairah radhiallahu 'anh, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda bahawa Allah berfirman (Hadis Qudsi

Setiap amal anak Adam adalah bagi dirinya…kecuali puasa maka ia adalah untuk Aku dan Aku sendiri akan membalasnya. Dia (anak Adam) (1) meninggalkan makanan kerana Aku dan (2) meninggalkan minuman kerana Aku dan (3) meninggalan kenikmatan kerana Aku dan (4) meninggalkan isterinya (tidak bersetubuh) kerana Aku. [Shahih Ibn Khuzaimah – hadis no: 1897 dengan isnad yang dinilai sahih oleh Muhammad Mustafa al-`Azami]



Adapun selain empat perkara di atas, ianya tidak membatalkan puasa. Memasukkan pen ke dalam mulut, merasa masakan dengan lidah (kemudian diludah keluar), menelan air liur, mencuci telinga dengan cotton buds, debu yang masuk ke dalam hidung, titisan ubat mata yang mengalir ke dalam rongga mata dan sebagainya, ini semua tidak membatalkan puasa kerana ia bukanlah makanan dan minuman atau suatu kenikmatan kepada tuan punya diri. 

Sebagai contoh, menelan air liur tidak pernah dikenali sebagai satu minuman bagi manusia dan menelannya jarang-jarang menghasilkan kenikmatan kepada orang yang normal. Seandainya menelan air liur adalah satu minuman, nescaya tidak ada orang yang mati kehausan jika terdampar di padang pasir. 

Demikian juga suntikan ubat ke dalam darah seperti insulin kepada pesakit kencing manis, maka ia tidak membatalkan puasa. Adapun suntikan yang berupa cecair glukosa seperti yang diberikan kepada pesakit yang tidak dapat makan dan minum seperti biasa, maka dalam hal ini terdapat dua pendapat, yang pertama berkata tidak batal manakala yang kedua berkata batal. Yang benar adalah pesakit itu sendiri tidak perlu berpuasa kerana kesakitan sehingga ke tahap tidak dapat makan dan minum masuk ke dalam kategori keuzuran yang amat dianjurkan untuk tidak berpuasa.

Apa sahaja yang memasuki tubuh badan orang yang berpuasa, sama ada melalui rongga-rongga yang terbuka atau melalui cara lain, ia tidak membatalkan puasanya selagi mana benda yang masuk itu bukan makanan, minuman atau sesuatu yang memberi kenikmatan kepada orang tersebut. Dalil yang lazimnya digunakan oleh pihak yang mengatakan batal puasa bagi seseorang yang memasuk sesuatu ke dalam rongga badannya ialah hadis berikut:

Sempurnakanlah wudhu' dan bersungguh-sungguhlah dalam menyedut air ke dalam hidung (dan menghembusnya) kecuali jika kamu sedang berpuasa. [Dikeluarkan oleh Ibn Majah dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani di dalam Shahih Ibn Majah – hadis no: 333 (Kitab Thaharah, Bab Anjuran menyedut air ke dalam hidung…)]Berdasarkan sabda Rasulullah "…kecuali jika kamu sedang berpuasa" mereka memahami bahawa seseorang itu dilarang menyedut air ke dalam hidung apabila sedang mengambil wudhu' dalam keadaan berpuasa. Jika dimasukkan air, ia akan membatalkan puasa. Kemudian fahaman ini diqiyaskan kepada semua rongga tubuh badan.Fahaman ini adalah tidak tepat kerana pengecualian yang dimaksudkan oleh Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bukan ditujukan kepada menyedut air ke dalam hidung tetapi kepada "bersungguh-sungguh" dalam penyedutan tersebut. Dalam erti kata lain, yang dimaksudkan oleh Rasulullah ialah, apabila berwudhu' dalam keadaan berpuasa, tidak perlu bersungguh-sungguh menyedut air ke dalam hidung kerana dibimbangi sebahagiannya akan masuk jauh ke dalam sehingga ditelan sebagai "minuman." [Syaikh Yusuf al-Qaradhawi - Fiqh al-Siyam, ms. 117]



Demikian dua perkara yang ingin dibawa kepada perhatian para pembaca sekalian, satu berkenaan beberapa kemudahan dan kelonggaran hukum yang kini lazimnya ditinggalkan, kedua berkenaan perkara-perkara yang dianggap membatalkan puasa yang sebenarnya merupakan tokok tambah di atas apa yang sebenarnya tidak disyaratkan oleh al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih. Pasti sahaja terdapat beberapa perkara lain yang masih memerlukan perhatian para pembaca sekalian. Antara perkara yang kini ditinggalkan oleh sebahagian umat Islam ialah mengakhirkan sahur sebelum berpuasa. Sebahagian umat Islam kini  bersahur pada lewat malam sebelum mereka tidur. Sunnah baginda Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang mulia mengajar kita bahawa sahur hendaklah dilewatkan sehingga ke saat jelas kepada kita waktu Subuh telah masuk. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Bersahurlah kerana sesungguhnya di dalam sahur ada keberkatan. [Shahih al-Bukhari – hadis no: 1923 (Kitab Puasa, Bab Keberkatan bersahur)]

Pembeza antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan sahur. [Shahih Muslim – hadis no: 1096 (Kitab Puasa, Bab Keutamaan sahur…)]

Makan sahur adalah keberkatan makan janganlah kamu tinggalkannya sekalipun kamu hanya minum seteguk air kerana sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat ke atas orang yang bersahur. [Dikeluarkan oleh Ibn Hibban dan dinilai hasan oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Jami' al-Shagheir – hadis no: 3683]


Antara perkara lain yang ditokok tambah pula ialah:

1.    Mewajibkan lafaz niat sebelum puasa. Membaca lafaz niat untuk berpuasa atau untuk mana-mana ibadah lain seperti wudhu dan solat sebenarnya adalah tidak perlu, jauh sekali daripada bersifat wajib. Yang wajib adalah seseorang itu mengetahui dengan sedar ibadah apa yang bakal dilakukannya. Jika seseorang itu lazimnya
diganggu dengan perasaan was-was, maka dianjurkan melintaskan di dalam hati sekadar "Inilah puasa aku" atau "Inilah solat Zohor aku". Jika masih was-was maka boleh menyebutnya secara lisan. Jika setelah itu masih was-was, maka janganlah diberi perhatian lagi kerana ia tidak lain adalah permainan syaitan.

2.    Menetapkan waktu imsak 5 atau 10 minit sebelum masuknya waktu Subuh. Tindakan ini sebenarnya menjauhi sunnah dan bukan mendekatinya atas alasan "berhati-hati." Lebih-lebih lagi pada masa kini, umat Islam tidak perlu "berhati-hati" terlanjur makan dan minum kerana mereka dapat mengetahui masuknya waktu Subuh dengan tepat dengan merujuk kepada jadual waktu solat masing-masing. Firman
Allah 'Azza wa Jalla:
Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. [al-Baqarah 2:187]

0 comments:

Post a Comment

Followers