Saturday 2 April 2011

Abdurrahman bin Auf



Abdurrahman bin Auf termasuk dalam kalangan lapan sahabat yang mula-mula menganut agama Islam. Beliau juga termasuk dalam kalangan sepuluh orang sahabat yang dijamin masuk syurga oleh Rasulullah. Selain itu, beliau juga termasuk enam orang sahabat yang bermusyawarah dalam pemilihan khalifah menggantikan Umar bin Khathab. Beliau adalah seorang mufti yang dipercayai Rasulullah SAW untuk berfatwa di Madinah. Abdurrahman bin Auf RA menganut agama Islam sebelum Rasulullah SAW melakukan pembinaan di rumah Arqam bin Abil Arqam RA, kira-kira dua hari setelah Abu Bakar RA menganut agama Islam.

Ketika hijrah ke Madinah, Abdurrahman bin Auf dipersaudarakan dengan Sa'ad bin Rabi' Al-Anshari, salah seorang kaya yang pemurah di Madinah. Abdurrahman pernah ditawari Sa'ad untuk memilih salah satu dari dua kebunnya yang luas. Tapi, Abdurrahman menolaknya. Beliau hanya meminta kepada Sa'ad supaya menunjukkan lokasi pasar di Madinah. Sejak itu, Abdurrahman bin Auf bekerja sebagai pedagang dan memperoleh keuntungan yang cukup besar. Aset dagangannya juga semakin besar, sehingga beliau dikenali sebagai pedagang yang berjaya. Tapi, kejayaannya itu tidak membuatnya lupa diri. Beliau sentiasa mengikuti setiap peperangan yang dipimpin Rasulullah. Suatu hari, Rasulullah SAW berpidato membangkitkan semangat jihad dan pengorbanan kaum Muslimin. Beliau berkata, "Bersedekahlah kalian, kerana saya akan mengirim pasukan ke medan perang." Mendengar ucapan itu, Abdurrahman bin Auf bergegas pulang dan segera kembali ke hadapan Rasulullah. "Ya, Rasulullah, saya mempunyai wang empat ribu. Dua ribu saya pinjamkan kepada Allah, dan lebihannya saya tinggalkan untuk keluarga saya," ucap Abdurrahman. Lalu Rasulullah mendoakannya agar diberi keberkatan oleh Allah SWT. Ketika Rasulullah SAW memerlukan banyak dana untuk menghadapi tentera Rum dalam perang Tabuk, Abdurrahman bin Auf menjadi salah satu pelopor dalam menyumbangkan dana. Beliau menyerahkan dua ratus uqiyah emas. Melihat hal itu, Umar bin Khathab berbisik kepada Rasulullah SAW, "Agaknya Abdurrahman berdosa, dia tidak meninggalkan wang belanja sedikit pun untuk keluarganya."

Maka, Rasulullah pun bertanya kepada Abdurrahman, "Adakah engkau tinggalkan wang belanja untuk keluargamu?" Abdurrahman menjawab, "Ada, ya Rasulullah. Mereka saya tinggalkan lebih banyak dan lebih baik daripada yang saya sumbangkan."
"Berapa?" Tanya Rasulullah. Abdurrahman menjawab, "Sebanyak rezeki, kebaikan, dan upah yang dijanjikan Allah." Subhanallah. Sejak itu, rezeki yang dijanjikan Allah terus mengalir bagaikan aliran sungai yang deras. Abdurrahman bin Auf kini telah menjadi orang terkaya di Madinah.
Suatu hari, iring-iringan kafilah dagang Abdurrahman bin Auf yang terdiri dari 700 ekor unta yang dimuatkan dengan bahan pangan, sandang, dan barang-barang keperluan penduduk tiba di Madinah. Terdengar suara gemuruh dan hiruk-pikuk, sehingga Aisyah bertanya kepada seseorang, "Suara apakah itu?"
Orang itu menjawab, "Iring-iringan kafilah dagang Abdurrahman."
Aisyah berkata, "Semoga Allah melimpahkan berkah-Nya kepada Abdurrahman di dunia dan akhirat. Saya mendengar Rasulullah bersabda bahawa Abdurrahman bin Auf masuk syurga dengan merangkak." Orang itu langsung menemui Abdurrahman bin Auf dan menceritakan apa yang didengarnya dari Aisyah. Mendengar hal itu, ia pun bergegas menemui Aisyah. "Wahai Ummul Mukminin, apakah ibu mendengar sendiri ucapan itu dari Rasulullah?" Ya," jawab Aisyah.

"Seandainya aku sanggup, aku ingin memasuki syurga dengan berjalan. Sudilah ibu menyaksikan, kafilah ini dengan seluruh kenderaan dan muatannya kuserahkan untuk jihad fi sabilillah." Sejak mendengar bahawa dirinya dijamin masuk syurga, semangat berinfak dan bersedekahnya semakin meningkat. Tidak kurang dari 40.000 dirham perak, 40.000 dirham emas, 500 ekor kuda perang,dan 1.500 ekor unta sebagai sumbangan untuk  menegakkan panji-panji Islam di muka bumi. Mendengar hal itu, Aisyah mendoakan, "Semoga Allah memberinya minum dengan air dari telaga Salsabil (nama sebuah telaga di syurga)." Menjelang akhir hayatnya, Abdurrahman pernah ditawarkan makanan oleh seseorang -- padahal ia sedang berpuasa. Sambil melihat makanan itu, beliau berkata, "Mush'ab bin Umair syahid di medan perang. Dia lebih baik daripada saya. Waktu dikafan, jika kepalanya ditutup, maka kakinya terbuka. Dan jika kakinya ditutup, kepalanya terbuka. Kemudian Allah membentangkan dunia ini bagi kita seluas-luasnya. Sungguh, saya amat takut kalau-kalau pahala untuk kita disegerakan Allah di dunia ini." Setelah itu, ia menangis tersedu-sedu.

Abdurrahman bin Auf wafat dengan membawa amalnya yang banyak. Saat pemakamannya, Amirul Mukminin Ali bin Abi Thalib berkata, "Anda telah mendapat kasih sayang Allah, dan anda telah berhasil menundukkan kepalsuan dunia. Semoga Allah sentiasa merahmati anda. Amin." 

0 comments:

Post a Comment

Followers